Skip to main content

Sukan

ACLE: JDT tekad jinakkan Sanfrecce Hiroshima di SSI esok

71768746822_XiscoMunoz.jpg
Xisco Munoz berkata, skuad Harimau Selatan dijangka mengamalkan pendekatan lebih berdisiplin dengan intensiti tinggi bagi memastikan keputusan memihak kepada mereka. - Gambar fail

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim FC (JDT) bertekad memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila berdepan Sanfrecce Hiroshima pada aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini, esok.

Skuad Harimau Selatan dijangka mengamalkan pendekatan lebih berdisiplin dengan intensiti tinggi bagi memastikan keputusan memihak kepada mereka sebagai bekalan selesa menjelang aksi timbal balik, sekali gus mengukuhkan peluang mara ke suku akhir saingan kelab elit Asia itu.

Advertisement

Ketua jurulatih JDT Xisco Munoz menyifatkan pertembungan berkenaan sebagai ujian getir dan menuntut anak buahnya mengawal tempo permainan, terutama berdepan kelab Jepun yang terkenal dengan transisi serangan pantas.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Paling penting kami perlu mengawal permainan dan memahami setiap fasa. Mereka pasukan yang kuat dengan barisan pemain berkualiti, khususnya di bahagian serangan,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Meskipun mengakui kekuatan lawan, Munoz yakin barisannya memiliki kemampuan untuk menyahut cabaran tersebut.

“Kami perlu mempamerkan mentaliti, intensiti dan kekuatan sepanjang 90 minit. Dengan sokongan penyokong yang menjadi ‘pemain ke-12’, kami mampu memberikan aksi terbaik. Jika ada peluang, kami perlu menamatkan permainan lebih awal,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.

Sementara itu, ketua jurulatih Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul menjangkakan aksi sengit, namun percaya anak buahnya sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan pertama pusingan 16 terbaik itu.

Beliau mengakui kualiti yang dipamerkan JDT pada pertemuan terdahulu, terutama ketahanan mental meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Harimau Selatan tewas tipis 1-2 kepada kelab Liga 1 Jepun (Liha J1) itu pada aksi kumpulan Zon Timur di Stadium Edion Peace Wing, Hiroshima pada 10 Feb lepas ketika beraksi dengan 10 pemain pada awal babak pertama.

Mengulas ancaman utama pasukan tuan rumah, Gaul berkata pihaknya akan memberi tumpuan untuk mengekang beberapa pemain penting JDT, namun menegaskan keutamaan tetap kepada corak permainan sendiri.

-- BERNAMA

Must Watch Video