LIFESTYLE
Warisan etnik Kadayanallur Tenkasi di Pulau Pinang terus dipelihara - Chow

Chow hadir pada majlis pelancaran Enklaf Etnik Kadayanallur dan Tenkasi bersama papan tanda warisan di George Town malam tadi. - Facebook Chow
GEORGE TOWN: Papan tanda memaparkan maklumat sejarah komuniti India Muslim daripada etnik Kadayanallur dan Tenkasi dipasang di tujuh lokasi di bandar raya ini bagi memelihara warisan sejarah etnik itu yang boleh dikesan sejak abad ke-19.
Ringkasan AI
- Papan Tanda Warisan Dipasang: Tujuh papan tanda sejarah komuniti India Muslim etnik Kadayanallur dan Tenkasi dipasang di Pulau Pinang bagi memelihara warisan mereka sejak abad ke-19.
- Pengiktirafan dan Cadangan Nama Jalan: Kerajaan negeri bercadang menamakan jalan di George Town sebagai Jalan Kadayanallur Tenkasi dan menyokong penjenamaan semula Masjid Jalan Prangin berkaitan etnik tersebut.
- Usaha Kekalkan Warisan dan Tarikan Pelancongan: Inisiatif ini bertujuan memperkenalkan sejarah dan budaya etnik Kadayanallur dan Tenkasi kepada masyarakat serta pelancong, sambil memelihara kawasan warisan.
"Permulaan (kehidupan) begitu susah dan mereka berusaha sejak 200 hingga 300 tahun lepas di tanah air ini sehingga akhirnya berjaya dengan ramai yang menyumbang bukan sahaja kepada Pulau Pinang tetapi Malaysia hasil daripada usaha persatuan-persatuan komuniti.
"Oleh itu, saya nampak usaha untuk membawa etnik ini ke satu peringkat yang lebih tinggi harus kita sanjung," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Enklaf Etnik Kadayanallur dan Tenkasi bersama papan tanda warisan di sini malam tadi.
Chow berkata, MBPP juga diminta mempertimbangkan untuk menamakan sebatang jalan di George Town sebagai Jalan Kadayanallur Tenkasi bagi menghargai etnik itu di negeri ini kerana pihaknya telah bersetuju dengan cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Central Muslim Society (CMS).
"Masjid Jalan Prangin juga antara yang mempunyai kaitan dengan etnik itu dan mereka merancang untuk menambah ruang dengan mendirikan bangunan dua tingkat di belakang masjid itu dengan menjenamakan semula sebagai Masjid Kadayanallur Tenkasi," katanya.
Sementara itu, Presiden CMS Mohamed Hasan berkata pertubuhan itu yang merupakan gabungan NGO yang dianggotai keturunan etnik Kadayanallur dan Tenkasi berharap papan tanda berkenaan dapat memastikan sejarah mereka tidak ditelan zaman dan diketahui masyarakat serta pelancong.
Beliau berkata CMS sentiasa berdedikasi memartabatkan etnik Kadayanallur dan Tenkasi yang merupakan sebahagian daripada enklaf India Muslim di Pulau Pinang dan berharap warisan etnik itu terus diperkenalkan kepada orang ramai.
"Ia secara tidak langsung dapat memelihara dan mengekalkan bangunan dan kawasan warisan di dalam dan di luar Tapak Warisan UNESCO George Town sekali gus menyumbang kepada sektor pelancongan negeri ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami