LOS ANGELES: Bintang pop terkenal, Britney Spears berdepan dengan dakwaan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah di California berhubung penahanannya bulan lalu.
Penyanyi berusia 44 tahun itu ditahan pada 4 Mac lalu di sebuah lebuh raya di selatan California selepas didakwa memandu kenderaan BMW secara tidak menentu pada kelajuan tinggi.
Advertisement
Menurut laporan, Spears kemudiannya mendaftarkan dirinya ke sebuah pusat rawatan pemulihan.
Wakilnya menyifatkan insiden itu sebagai “sama sekali tidak boleh dimaafkan.”
Pendengaran pertama kes di mahkamah dijadualkan berlangsung Isnin depan, namun Spears tidak diwajibkan hadir secara peribadi memandangkan ia melibatkan pertuduhan kecil.
Pejabat Peguam Daerah Ventura County memfailkan pertuduhan berkenaan pada Khamis lalu.
“Keputusan sama ada Spears akan hadir atau tidak ke pendengaran tersebut akan dibuat oleh beliau bersama peguamnya,” menurut kenyataan pejabat pendakwa raya itu.
Menurut pihak pendakwaan, pertuduhan sedemikian lazimnya tidak melibatkan hukuman penjara sekiranya tiada kemalangan atau kecederaan berlaku, serta tiada rekod kesalahan sama sebelum ini.
Dalam kebanyakan kes, tertuduh biasanya dibenarkan mengaku bersalah terhadap pertuduhan lebih ringan iaitu pemanduan cuai melibatkan alkohol atau dadah.
Pilihan ini akan ditawarkan kepada Spears, kata wakil pejabat peguam daerah, Joey Buttitta.
Defendan yang berdepan pertuduhan sedemikian kebiasaannya dikenakan tempoh percubaan selama 12 bulan, diwajibkan mengikuti kelas berkaitan pemanduan di bawah pengaruh (DUI), selain membayar denda dan yuran mahkamah.
Spears, ibu kepada dua orang anak lelaki merupakan antara penyanyi pop paling berjaya sepanjang zaman dengan lagu-lagu popular seperti …Baby One More Time, Toxic, Everytime, Gimme More, Womanizer dan Stronger.
Beliau berada di bawah konservatorship – satu bentuk penjagaan undang-undang di mana urusan kewangan dan kehidupan peribadi dikawal oleh bapanya – selama 13 tahun sehingga ia ditamatkan pada 2021.
Selepas penahanannya, wakil Spears memberitahu BBC, penyanyi itu akan mengambil langkah yang sewajarnya dan mematuhi undang-undang.
“Britney akan mengambil langkah yang betul dan mematuhi undang-undang dan diharapkan ini menjadi permulaan kepada perubahan yang sudah lama diperlukan dalam kehidupannya.
“Diharapkan juga beliau dapat menerima bantuan dan sokongan yang diperlukan dalam tempoh sukar ini.
“Anak-anaknya akan meluangkan masa bersamanya, dan orang tersayang akan merangka satu pelan yang diperlukan bagi memastikan kesejahteraan dan masa depan Britney,” kata wakil tersebut. - Agensi