LOS ANGELES: Penyanyi terkenal Britney Spears terlepas daripada hukuman penjara selepas bersetuju mengaku bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu susulan penahanannya kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Peguam kepada penyanyi berusia 44 tahun itu hadir ke mahkamah pada Isnin dan mengaku bersalah bagi pihak Spears atas pertuduhan lebih ringan yang melibatkan pemanduan melulu berkaitan alkohol atau dadah.
Advertisement
Spears tidak diwajibkan hadir ke prosiding berkenaan.
Spears ditahan pada 4 Mac lalu di sebuah lebuh raya di selatan California selepas didakwa memandu kereta BMW pada kelajuan tinggi.
Susulan insiden itu, Spears dilaporkan telah mendaftarkan diri ke sebuah pusat rawatan pemulihan.
Wakilnya menyifatkan kejadian tersebut sebagai “tidak boleh dimaafkan”.
“Melalui pengakuan bersalah hari ini, Britney telah menerima tanggungjawab atas tindakannya,” kata peguamnya, Michael Goldstein, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata langkah pembetulan yang diambil Spears mempengaruhi keputusan Pejabat Peguam Daerah Ventura County untuk mengurangkan pertuduhan dan menggugurkan kes memandu di bawah pengaruh (DUI).
Bagi pihak anak guamnya, Goldstein bersetuju menerima pertuduhan yang dikenali sebagai 'wet reckless'.
Spears dikenakan tempoh percubaan selama 12 bulan, diwajibkan mengikuti kelas berkaitan DUI serta membayar denda dan bayaran berkaitan.
Menurut Pejabat Peguam Daerah, langkah itu merupakan prosedur standard bagi tertuduh tanpa rekod kesalahan DUI, tanpa kemalangan atau kecederaan, serta mempunyai kadar alkohol dalam darah yang rendah.
Spears merupakan antara bintang pop paling berjaya di dunia dengan lagu-lagu seperti '…Baby One More Time', 'Toxic', 'Everytime', 'Gimme More', 'Womanizer' dan 'Stronger' yang pernah menguasai carta muzik dunia.
Beliau berada di bawah perintah konservator selama 13 tahun sehingga 2021, yang menyaksikan kewangan serta kehidupan peribadinya dikawal oleh bapanya.