PARIS: Penyanyi terkenal Kanada, Celine Dion, tidak dapat menahan sebak ketika membuat kemunculan semula dalam konsert utama pertamanya selepas enam tahun di Paris pada Sabtu, menandakan satu detik penting dalam perjalanan pemulihannya daripada sindrom stiff-person.
Dion, 58, dilaporkan menitiskan air mata sebaik sahaja melangkah ke pentas di Paris La Defense Arena di Nanterre, di hadapan kira-kira 30,000 peminat yang memenuhi lokasi konsert pembukaan siri persembahannya di ibu negara Perancis itu.
Menurut laporan media, penyanyi yang popular menerusi lagu My Heart Will Go On itu memberitahu penonton bahawa beliau berjanji untuk tidak menangis, namun terharu melihat sokongan yang diberikan peminat selepas tempoh panjang berehat daripada persembahan secara langsung.
Konsert tersebut merupakan persembahan utama pertama Dion sejak 2020.
Kerjayanya sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19 sebelum beliau mengumumkan diagnosis sindrom stiff-person pada 2022, iaitu gangguan neurologi yang menyebabkan kekejangan dan kekakuan otot sehingga menjejaskan keupayaannya untuk bergerak serta menyanyi.
Walaupun pernah kembali membuat persembahan khas pada majlis pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024, siri konsert di Paris kali ini dianggap kemunculan semula paling signifikan kerana menandakan kembalinya beliau ke pentas konsert berskala penuh.
Dion dijadual mengadakan 26 persembahan di Paris dalam beberapa bulan akan datang, dengan kesemua tiket untuk siri pembukaan dilaporkan habis dijual susulan sambutan luar biasa daripada peminat.
Kemunculan semula penyanyi itu disambut hangat oleh para peminat yang menganggap persembahan tersebut sebagai bukti ketabahan dan semangat juangnya selepas beberapa tahun berdepan cabaran kesihatan yang serius.