LONDON: Sebuah dokumentari mengenai serangan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza akan ditayangkan pada Festival Filem Antarabangsa Venice ke-83 bulan depan, lapor Anadolu Ajansi memetik akhbar Britain The Guardian pada Isnin.
Filem bertajuk NAZA itu diarahkan pemenang Oscar Yuval Abraham dan Rachel Szor serta diterbitkan oleh The Guardian.
Dokumentari itu menyiasat apa yang disifatkan akhbar berkenaan sebagai “pembunuhan beramai-ramai orang awam Palestin yang dirancang oleh Israel.”
Abraham dan Szor merupakan dua daripada empat pengarah Israel di sebalik No Other Land, yang memenangi Oscar bagi Dokumentari Terbaik pada 2025.
Ketika mengumumkan filem itu, pembikin filem berkenaan berkata: “Dirakam pada waktu malam dari bumbung bangunan di Tel Aviv, filem ini mendedahkan secara terperinci sistem di sebalik pembunuhan beramai-ramai orang awam Palestin yang dirancang oleh Israel di Gaza.”
The Guardian dalam satu kenyataan berkata NAZA ialah akronim ketenteraan Israel yang digunakan oleh perisikan Israel untuk merujuk kepada jumlah orang awam yang dijangka terbunuh dalam sesuatu serangan udara.
Dokumentari itu berasaskan laporan penyiasatan yang dijalankan antara 2023 dan 2025 oleh +972 Magazine, Local Call dan The Guardian.
Festival Filem Antarabangsa Venice ke-83 akan berlangsung dari 2 hingga 12 Sept.
-- BERNAMA-ANADOLU