Skip to main content

Dunia

Empat spesies serangga baharu dinamakan sempena Taylor Swift

Lipas Taylor
Pakar mengenal pasti empat spesies yang dinamakan sempena penyanyi itu dan albumnya, iaitu Swiftiephylus taylorae, Swiftiephylus amator, Swiftiephylus intrepidus dan Swiftiephylus poetorum. - Foto: UC Riverside
Advertisement

LOS ANGELES: Saintis menamakan empat spesies serangga yang baru dikenal pasti sempena bintang popular Amerika Syarikat (AS), Taylor Swift, dengan haiwan berkenaan tergolong dalam genus baharu yang dinamakan Swiftiephylus, menurut Universiti California, Riverside pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam genus itu, pakar mengenal pasti empat spesies yang dinamakan sempena penyanyi berkenaan dan albumnya, iaitu Swiftiephylus taylorae, Swiftiephylus amator, Swiftiephylus intrepidus dan Swiftiephylus poetorum.

Nama berkenaan merupakan versi Latin bagi nama “Taylor” serta album penyanyi itu iaitu “Lover”, “Fearless” dan “Poets”, yang merujuk kepada album “The Tortured Poets Department”.

Menurut universiti berkenaan, serangga itu tergolong dalam keluarga kepinding lembut. Pelajar kedoktoran Sarah Schroeder, yang turut menghasilkan kertas penyelidikan itu berharap penamaan sempena penyanyi popular itu dapat menarik lebih banyak perhatian terhadap usaha pemuliharaan serangga.

“Sebagai peminat Swift sepanjang hidup saya, rasanya amat bermakna untuk menghormati Taylor dengan cara ini, di samping menarik perhatian terhadap kepelbagaian serangga yang masih belum ditemui,” kata Schroeder dalam satu kenyataan yang dikeluarkan universiti itu.

Keempat-empat spesies baharu itu merupakan haiwan herbivor dan mempunyai kaitan rapat dengan genus tumbuhan Australia, Allocasuarina, menurut universiti berkenaan.

Schroeder berkata penampilan serangga itu juga menjadi antara sebab beliau menamakan haiwan berkenaan sempena Swift. Serangga itu mempunyai struktur berwarna merah jingga pada tubuhnya yang berwarna cerah, menyerupai bunga Allocasuarina.

“Penampilan ikonik Taylor Swift ialah rambut perang dan bibir merahnya. Serangga ini berwarna kuning pucat dengan rona merah di beberapa bahagian,” kata Schroeder. “Dalam kertas penyelidikan itu, saya merujuknya sebagai berambut perang.”

Serangga yang baru dikenal pasti itu mengambil masa bertahun-tahun untuk diberikan nama. Ia ditemui antara 1995 dan 2004 sebagai sebahagian daripada projek biodiversiti oleh penyelidik AS dan Australia. Pada ketika itu, pakar mengumpulkan 50,000 spesimen yang perlu diasingkan, dikaji dan dikenal pasti.

 -- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement