Skip to main content

Dunia

Lelaki dipenjara 15 tahun rancang serangan konsert Taylor Swift di Vienna

Austrian defendant identified as Beran A, suspected of planning an attack on U.S. singer Taylor Swift's Vienna concert in 2024, is escorted by security personnel in a courtroom for his trial in Wiener Neustadt, Austria, May 28, 2026. REUTERS/Lisa Leutner TPX IMAGES OF THE DAY
Tertuduh yang dikenali sebagai Beran A, diiringi anggota keselamatan di dalam mahkamah semasa perbicaraan di Wiener Neustadt, Austria. - Foto REUTERS

VIENNA: Seorang lelaki Austria berusia 21 tahun dijatuhi hukuman penjara 15 tahun selepas didapati bersalah merancang serangan terhadap konsert penyanyi popular Taylor Swift di Vienna pada 2024.

Tertuduh, yang dikenali sebagai Beran A selaras dengan undang-undang privasi Austria, disabitkan dengan beberapa kesalahan berkaitan keganasan, termasuk konspirasi menyerang konsert dalam jelajah 'Eras Tour' yang dijadual berlangsung pada Ogos 2024.

Menurut pihak pendakwa, rancangan serangan itu berjaya digagalkan susulan maklumat risikan daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, hanya sehari sebelum konsert pertama berlangsung di Stadium Ernst Happel.

Susulan ancaman tersebut, pihak berkuasa membatalkan ketiga-tiga konsert yang telah habis dijual, sekali gus menjejaskan hampir 200,000 peminat yang merancang menghadiri acara itu.

Pendakwa mendedahkan bahawa tertuduh merancang untuk menyerang orang ramai di sekitar stadium menggunakan senjata seperti pisau atau bahan letupan buatan sendiri, dengan tujuan menyebabkan korban besar.

Beran A dipercayai telah diradikalisasikan dan mengikrarkan taat setia kepada kumpulan militan Daesh, selain cuba mendapatkan senjata secara haram termasuk mesingan dan bom tangan.

Pihak berkuasa turut menemui bahan berkaitan pembuatan bom selepas menggeledah kediamannya pada 7 Ogos 2024.

Pakar psikiatri mahkamah, Peter Hoffmann, menyatakan tertuduh tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit mental, sekali gus menolak faktor tersebut sebagai punca radikalisasi.

Dalam perbicaraan sama di Wiener Neustadt, seorang lagi tertuduh berusia 21 tahun dari Slovakia, dikenali sebagai Arda K, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana kesalahan berkaitan keganasan.

Bagaimanapun, beliau tidak terlibat secara langsung dalam rancangan serangan terhadap konsert berkenaan.

Terdahulu, Taylor Swift menyifatkan pembatalan konsert tersebut sebagai sesuatu yang “memusnahkan”, namun bersyukur kerana pihak berkuasa berjaya menghalang kemungkinan tragedi besar.

Dalam kenyataan di media sosial, penyanyi itu berkata: “Kami hanya kehilangan konsert, bukan nyawa,” sambil mengakui insiden itu memberi kesan mendalam terhadap dirinya.

 

Must Watch Video

Advertisement