PUTRAJAYA: Bekas pengulas sukan dan pelakon veteran, Datuk Rahim Razali dinobatkan sebagai Tokoh Seri Angkasa pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA2026), di sini, malam tadi.
Beliau membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000 berserta sebuah Proton e.MAS 7 tajaan DRB-HICOM bernilai RM150,000, wang tunai RM8,000 tajaan CIMB dan pakej percutian tiga hari dua malam tajaan Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur bernilai RM1,000.
Anugerah itu disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Ashwad Ismail.
Anugerah Khas Juri pula menjadi milik Khiu Siaw Fong menerusi Kumang And The Ungrateful Python, yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM8,000 berserta sebuah Perodua QV-E tajaan Perodua bernilai RM80,000.
Bagi anugerah kemuncak, Selampai Labung yang disiarkan oleh TV1 pula merangkul Anugerah Drama TV Terbaik sekali gus membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000 berserta Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM200,000.
ASA2026 turut menyaksikan Bernama merangkul kategori Pengacara TV Terbaik menerusi Muhammad Dinnie Asyraf Salim bagi rancangan Pindaan Akta 134 Orang Asli sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000 dan trofi.
Anugerah Dokumentari TV Terbaik pula dimenangi TV1 menerusi Di Sebalik Bayangan Harimau yang turut menerima trofi, wang tunai RM5,000 dan DKK bernilai RM150,000.
Anugerah Pengarah Drama TV Terbaik dimenangi Bade Hj Azmi menerusi Dosa Tak Terampun yang disiarkan oleh TV1 manakala Skrip Drama TV Terbaik menjadi milik Abror Rivai menerusi Kalam Murabbi (TV AlHijrah), masing-masing membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000.
Kategori Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik dimenangi Azhan Rani menerusi Wok siaran Unifi TV manakala Pelakon Wanita Drama TV Terbaik menjadi milik Noorkhiriah menerusi Seribu Tahun siaran Astro Ria, masing-masing membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000 berserta dana akaun DURIAN-i CIMB bernilai RM5,000.
Kategori Pelakon Pembantu Lelaki Drama TV Terbaik dimenangi Harun Hashim menerusi Bilal dan Abah siaran TV AlHijrah manakala Pelakon Pembantu Wanita Drama TV Terbaik menjadi milik Elizad Sharifuddin menerusi Detik Waktu siaran TV Okey.
Zahril Adzim pula meraih Anugerah Pelakon Komedi TV Terbaik menerusi Ramadan I Miss You siaran TV3, dengan ketiga-tiga pemenang masing-masing membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000 berserta dana akaun Durian-i CIMB bernilai RM3,000.
Dihoskan Datuk Aznil Nawawi dan Sherry Alhadad, ASA 2026 berkonsepkan pementasan muzikal Broadway yang menampilkan kelainan impak tinggi dengan gabungan elemen teater, tarian bertenaga dan alunan muzik secara langsung daripada Orkestra RTM demi meraikan ulang tahun ke-80 Jabatan Penyiaran Malaysia.
ASA edisi ke-37 bertemakan “Segalanya Bermula Di Sini” menerima 1,106 penyertaan bagi kategori televisyen diikuti radio (421) dan media baharu (74), disiarkan secara langsung di RTM TV2, Facebook dan YouTube rasmi Kementerian Komunikasi
Anugerah itu mempertandingkan 40 kategori televisyen, 17 kategori radio, tiga kategori media baharu selain dua kategori khas, iaitu Anugerah Khas Juri dan Anugerah Tokoh Seri Angkasa.
ASA, yang sebelum ini dikenali sebagai Anugerah RTM, dicetuskan oleh Kementerian Penerangan pada 1972 bagi mengiktiraf penggiat penerbitan program radio dan televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Ia adalah inisiatif kerajaan bagi memartabatkan penggiat industri kreatif penyiaran tanah air dan mengiktiraf penggiat industri kreatif penyiaran yang turut merangkumi pekerja di belakang tabir seperti kru penerbitan dan siaran, penerbit, pereka, juruhebah, penyampai serta petugas teknikal.
-- BERNAMA