Skip to main content

Malaysia

Astro Audio lancar KITA FM, Lagu KITA semarak semangat patriotisme

Astro Audio
Barisan penyampai pelbagai stesen radio di bawah Astro Audio bersatu dalam menjayakan KITA FM dan Lagu KITA. - Foto Astro Audio
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan nasional sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Astro Audio melancarkan KITA FM dan Lagu KITA, sebuah inisiatif yang menghimpunkan rakyat Malaysia melalui muzik, hiburan dan aktiviti komuniti di seluruh negara.

Menggabungkan pelbagai elemen bahasa dan identiti tempatan, lagu berkenaan membawa mesej bahawa perbezaan yang wujud dalam kalangan rakyat bukanlah pemisah, sebaliknya asas yang memperkukuh keharmonian negara.

Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Astro Audio dalam menyatukan rakyat Malaysia melalui kuasa audio dan hiburan.

"KITA FM dan Lagu KITA merupakan satu platform yang meraikan segala yang menjadikan Malaysia begitu istimewa. 

"Dalam dunia yang semakin pantas berubah, kita percaya bahawa muzik, hiburan dan pengalaman bersama mempunyai kuasa untuk menyatukan masyarakat merentasi latar belakang, budaya dan bahasa," katanya. 

Sehubungan itu, menerusi KITA FM, rakyat Malaysia akan dibawa menyertai pelbagai program dan aktiviti yang menampilkan kisah, suara serta pengalaman yang mencerminkan keunikan masyarakat Malaysia, sekali gus mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.

Sepanjang kempen berlangsung, KITA FM akan menjelajah ke pelbagai lokasi di seluruh negara dengan membawa pelbagai aktiviti yang mengetengahkan keunikan Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi.

Pelancaran inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada rakan penaja iaitu HURIX'S, Thong Guan, AEON Credit, Google Pixel, BHPetrol dan DuoPharma, yang berkongsi aspirasi sama dalam memupuk keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Dalam pada itu, antara tarikan utama termasuk mini showcase dalam empat bahasa yang menghimpunkan artis dan penghibur tempatan, selain siri siaran luar menggunakan bas dua tingkat yang membolehkan penyampai Astro Audio berinteraksi secara lebih dekat dengan pendengar di pelbagai destinasi.

Kempen tersebut juga bakal mencatat sejarah menerusi penganjuran larian sejauh 63 kilometer merentasi Malaysia yang dijangka menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.

Orang ramai turut berpeluang bertemu secara langsung dengan barisan penyampai radio Astro Audio menerusi sesi bertemu peminat yang diadakan sepanjang siri jelajah berlangsung.

Must Watch Video

Advertisement