KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan televisyen satelit, Astro memperkenalkan beberapa pakej penstriman baharu yang lebih menjimatkan serta melancarkan saluran hiburan Korea terbaharu, Astro Daebak, bagi menawarkan pengalaman hiburan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan.
Menerusi penawaran baharu itu, pelanggan kini boleh melanggan pakej gabungan Disney+ dan Prime Video bersama Pakej Blockbuster pada harga RM25 sebulan, manakala pakej Prime Video bersama Pakej Blockbuster ditawarkan pada harga RM15 sebulan. Tawaran tersebut tersedia sehingga 14 Ogos depan.
Pakej Blockbuster menampilkan empat saluran filem dan hiburan iaitu Astro Showtime (saluran 411), Astro FAM Time (saluran 412), Rock Action (saluran 414) dan Rock X Stream (saluran 415), yang menawarkan pelbagai kandungan merangkumi filem keluarga, komedi dan aksi.
Pelanggan juga boleh menikmati pelbagai kandungan premium menerusi Disney+ dan Prime Video, termasuk filem serta siri baharu yang dijadualkan ditayangkan sepanjang Julai ini.
Bagi peminat hiburan Asia, Astro turut memperkenalkan pakej WeTV + Viu Duo pada harga RM15 sebulan sehingga 4 September 2026.
Pakej itu menggabungkan akses kepada kandungan premium daripada kedua-dua platform, termasuk drama Cina, siri Korea, drama Melayu, rancangan variasi dan kandungan eksklusif.
Antara kandungan yang ditawarkan menerusi WeTV ialah Mo Li, In the Moonlight dan Eight Hundred, manakala Viu pula menampilkan Bidadari Tanpa Syurga, Reborn Rookie, The Season dan Aku Pilih Pelangi.
Dalam perkembangan sama, Astro mengumumkan pelancaran saluran baharu Astro Daebak (saluran 393) bermula 1 Julai depan.
Saluran yang dikuasakan oleh tvN itu akan menampilkan pelbagai drama dan rancangan variasi Korea popular.
Antara drama yang bakal disiarkan termasuk Hotel Del Luna, Mr. Queen, The Devil Judge, Doom at Your Service, Reply 1988, Signal, What’s Wrong with Secretary Kim dan Familiar Wife. Peminat rancangan variasi pula boleh menikmati program seperti 3 Meals a Day dan Youn’s Kitchen.
Menurut Astro, pelancaran Astro Daebak akan mengukuhkan lagi penawaran kandungan Korea syarikat itu susulan penamatan operasi global saluran ONE HD, sekali gus melengkapkan barisan saluran Korea sedia ada seperti tvN, tvN Movies, KBS World dan K-Plus.
Astro berkata pelanggan boleh menikmati tawaran pakej baharu dan saluran tambahan itu menerusi Astro One Packs yang kini ditawarkan pada harga serendah RM49.99 sebulan.