PASIR PUTEH: Kerajaan Kelantan akan terus memelihara dan memperkasa warisan seni serta budaya negeri itu selagi amalan berkenaan selaras dengan tuntutan syariat Islam, sekali gus menjadikan ia sebagai antara komponen penting dalam pembangunan identiti dan pelancongan negeri.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata kerajaan negeri tidak pernah menolak seni dan budaya yang diwarisi turun-temurun, sebaliknya berusaha memurnikan setiap amalan supaya berkembang dalam lingkungan nilai, adab dan akhlak yang ditetapkan Islam.
Beliau berkata prinsip itu berasaskan kaedah fiqah bahawa hukum asal bagi adat kebiasaan adalah harus selagi tiada dalil yang mengharamkannya.
“Budaya kita dari sudut pandang Islam bukanlah bebas tanpa batas tetapi berkembang dalam lingkungan nilai, adab dan akhlak yang mulia.
“Prinsip ini menjadi pedoman Kerajaan Negeri Kelantan dalam mengurus, menilai dan memelihara warisan seni budaya sejak sekian lama. Kita tidak menolak seni mahupun budaya hanya kerana ia bersifat tradisi tetapi berusaha memurnikan dan memeliharanya agar terus subur selari dengan tuntutan syariat Islam,” katanya pada majlis perasmian penutupan Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 di sini malam tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris.
Mohd Nassuruddin berkata terdapat beberapa persembahan tradisi negeri sebelum ini tidak dibenarkan kerana mengandungi unsur yang bercanggah dengan syariat, namun kerajaan negeri tiada halangan membenarkannya dipersembahkan semula selepas unsur berkenaan dimurnikan dan tidak lagi diamalkan.
Beliau berkata perkembangan Islam di Kelantan sejak dahulu turut menyuburkan tradisi ilmu, seni, bahasa dan budaya yang berteraskan nilai Islam.
“Warisan budaya Kelantan seperti seni persembahan, permainan tradisional, pertukangan, kraf tangan dan makanan tradisional merupakan khazanah bernilai yang mencerminkan kebijaksanaan serta falsafah hidup masyarakat Melayu yang wajar dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata penganjuran FKRK 2026 membawa makna lebih besar daripada sekadar acara hiburan atau pelancongan kerana ia menjadi platform menghimpunkan warisan dan penggiat seni, selain membuka ruang perkongsian ilmu, merancakkan ekonomi rakyat serta memperkenalkan keunikan Kelantan kepada pelawat.
Mohd Nassuruddin turut memuji usaha menghidupkan semula permainan tradisional seperti gasing uri, congkak, dam aji dan tating yang disifatkan mampu mengimbangi pengaruh teknologi terhadap gaya hidup generasi muda.
FKRK 2026 yang berlangsung empat hari dan berakhir pada Sabtu ialah acara tahunan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta JKKN Kelantan.
-- BERNAMA