KUALA LUMPUR: Keterbatasan catatan mengenai keperibadian Sultan Mansur Shah membuka ruang kepada Datuk M Nasir untuk menggunakan “lesen seni” dalam menghidupkan tokoh berkenaan menerusi Teater Muzikal Mansur & Liu.
M. Nasir menjelaskan, pementasan itu bukan rekonstruksi sejarah secara literal, sebaliknya sebuah karya fiksyen yang dibina berasaskan tokoh dan latar Kesultanan Melayu Melaka.
Menurutnya, tidak banyak catatan yang memperincikan perwatakan Sultan Mansur Shah, termasuk cara hidup, pakaian dan pertuturan masyarakat ketika itu.
“Tidak ada orang yang benar-benar tahu wataknya bagaimana. Sejarah tidak banyak menceritakan tentang watak beliau.
“Jadi, kita mempunyai ‘lesen seni’ untuk mengagak perwatakannya kerana bukan mudah untuk mengetuai sebuah empayar ketika Melaka berada di puncak kegemilangan.
“Kisah Mansur & Liu ini ialah sebuah fiksyen. Bukannya cerita sebenar atau sejarah, tetapi berdasarkan watak-watak sejarah,” katanya dalam program AWANI Pagi pada Khamis.
Diilhamkan daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, pementasan itu mengangkat pertemuan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Liu dari China.
Selain percintaan, jalan ceritanya turut menyentuh persaingan kuasa dan kedudukan Melaka di tengah-tengah percaturan geopolitik yang melibatkan China, Siam serta kerajaan serantau pada abad ke-15.
Projek tertangguh akibat COVID-19
Penerbit Teater Muzikal Mansur & Liu, Datin Marlia Musa berkata, projek tersebut sebenarnya telah dirancang sejak beberapa tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.
Selepas keadaan kembali mengizinkan, pasukan produksi menyusun semula skrip sebelum memulakan proses latihan dan persiapan pentas.
“Kami sudah merancang untuk menerbitkan teater ini beberapa tahun lalu. Kemudian apabila COVID-19 berlaku, kami terpaksa meletakkannya ke tepi.
“Apabila merasakan ini masa yang sesuai, kami mulakan semula dan mengolah kembali skripnya,” katanya.
Menurut Marlia, Mansur & Liu pada asasnya ialah sebuah karya romantik, namun turut menggabungkan unsur politik dan konflik bagi mengukuhkan perkembangan cerita.
“Kami bekerja dengan sekumpulan penulis. Datuk akan memberikan gambaran besar mengenai bagaimana cerita itu sepatutnya bergerak, kemudian kami memberikan input untuk menaikkan graf cerita.
“Mansur & Liu ialah sebuah kisah cinta. Ia bukan cerita sejarah atau politik semata-mata, tetapi kami menggabungkan semua elemen berkenaan,” jelasnya.
Marlia mengakui antara cabaran terbesar sebagai penerbit adalah menterjemahkan imaginasi M. Nasir kepada sebuah persembahan berskala besar di Istana Budaya.
Produksi itu melibatkan lebih 80 pelakon dan tenaga produksi di atas pentas, selain puluhan pemuzik yang akan mengiringi persembahan secara langsung.
“Cabaran saya ialah suami saya kerana dia petik sahaja apa yang dia mahu,” katanya berseloroh.
“Kalau konsert, prosesnya mungkin lebih mudah, pilih lagu dan pergi kepada susunan muzik. Tetapi teater lebih kompleks. Cabarannya ialah merealisasikan imaginasi visual seorang pengarah.”
Melinda tidak sedar terpilih sebagai Puteri Liu
Sementara itu, Melinda Dadew mendedahkan bahawa beliau pada awalnya tidak mengetahui sesi uji bakat yang dihadirinya adalah untuk memilih pemegang watak Puteri Liu.
Melinda hadir selepas dihubungi pengurusnya dan terus diminta menyanyi serta membaca dialog watak berkenaan.
“Saya datang tanpa berfikir panjang. Ketika itu saya tidak tahu saya sedang menjalani uji bakat untuk watak Puteri Liu.
“Selepas selesai, Datin bertanya sama ada saya boleh datang semula keesokan harinya. Saya fikir mungkin ada satu lagi uji bakat. Apabila saya bertanya kepada pengurus, semua ketawa dan berkata, ‘Awak sudah dapat’,” katanya.
Selain menghafal skrip, Melinda berkata cabaran terbesar adalah memahami emosi watak dan menyampaikannya melalui bahasa tubuh, termasuk ketika tidak berdialog.
“Bukan sekadar menghafal skrip, tetapi kita perlu benar-benar memahami maksudnya dan tahu bagaimana mahu mengeluarkan emosi.
“Walaupun ketika diam, kita masih perlu bermain dengan perasaan. Saya juga perlu menghafal dialog bahasa Mandarin kerana ada satu babak yang menggunakan bahasa itu sepenuhnya,” jelasnya.
Arena Wan keluar dari zon selesa
Arena Wan pula menggalas watak Tun Seri Anem, sepupu kepada Sultan Mansur Shah yang diwujudkan khusus bagi membentuk konflik cinta tiga segi dalam pementasan tersebut.
Menurut Arena, penampilannya dalam Mansur & Liu merupakan pengalaman pertama dalam teater muzikal dan mencabar dirinya sebagai pelakon yang tidak mempunyai latar belakang sebagai penyanyi.
“Ini kali pertama saya terlibat dalam teater muzikal. Saya seorang pelakon, bukan penyanyi, jadi itu cabaran terbesar saya.
“Saya berterima kasih kepada Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa kerana memberikan peluang serta kepercayaan kepada saya untuk membawa watak ini,” katanya.
Arena menyifatkan barisan pelakon, skrip dan muzik produksi berkenaan sebagai antara faktor yang membuatkannya teruja untuk membuat penampilan sulung di pentas teater.
Naskhah asal Mansur & Liu ditulis oleh Allahyarham Zakaria Ariffin sebelum dikembangkan secara kolektif oleh pasukan penulis serta produksi.
Pementasan tersebut menjadi teater muzikal pertama arahan M. Nasir dan menampilkan kira-kira 30 lagu baharu ciptaannya.
Aliff Aziz membawakan watak Sultan Mansur Shah, manakala Melinda sebagai Puteri Liu. Barisan pelakonnya turut disertai Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Arena Wan dan beberapa nama lain.
Teater Muzikal Mansur & Liu akan dipentaskan dari 10 hingga 20 September 2026 di Panggung Sari, Istana Budaya.