PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan generasi muda khususnya di kawasan bandar yang semakin terpisah daripada filem dan budaya Melayu.
Menurut beliau, generasi muda hari ini lebih terdedah kepada pengaruh Hollywood dan kandungan luar negara sehingga wujud jurang ketara berbanding generasi terdahulu yang membesar dengan filem tempatan.
“Saya sekarang berhadapan dengan cucu-cucu yang dibesarkan di Damansara, yang kadang-kadang pengaruh Hollywood dan filem serta seni luar negara, khususnya Amerika, itu terlalu kuat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara Finas Damansara, di sini, pada Isnin.
Berkongsi pengalaman, Anwar berkata beliau menayangkan filem Pendekar Bujang Lapok karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kepada cucu-cucunya yang pada mulanya kurang berminat untuk menonton filem Melayu.
“Selepas habis filem, seorang cucu saya kata… Ini filem terbaik yang saya pernah tonton. Seorang lagi cucu pula cakap… ini filem komedi terbaik yang paling seronok saya tengok.
“Maknanya apa? Saya belajar dari situ, tanggungjawab kita untuk memberikan pendedahan,” kata Anwar.
Beliau turut mencadangkan supaya sekolah memainkan peranan dalam memperkenalkan filem Melayu kepada generasi muda, terutama anak-anak di kawasan bandar.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jumlah penonton filem tempatan meningkat daripada 5.87 juta pada 2023 kepada 14.83 juta pada 2025, iaitu peningkatan kira-kira 153 peratus.
Fahmi berkata, momentum itu disokong kejayaan beberapa karya tempatan yang mencatat kutipan pecah panggung atau box office memberangsangkan.
Pada 2025, Blood Brothers: Bara Naga muncul filem dengan kutipan tertinggi di bawah Skim Wajib Tayang, meraih RM73.6 juta, manakala filem animasi Papa Zola The Movie mencatat RM63.8 juta.
Tegas Fahmi, kejayaan karya seperti Blood Brothers: Bara Naga dan Papa Zola The Movie membawa mesej jelas bahawa penonton Malaysia mempunyai keyakinan terhadap karya tempatan sekiranya kandungan yang ditawarkan berkualiti, kompetitif dan dekat dengan hati mereka.