Ringkasan AI
- Nandagopall Mohan memenangi Anugerah Pelakon Baharu Terbaik di Golden Horse Awards Ke-63 menerusi filem Sayang Sayang di Taipei, Taiwan.
- Filem Sayang Sayang, kerjasama Malaysia-Taiwan, menerima lima pencalonan termasuk Lakon Layar Asal Terbaik dan Kesan Visual Terbaik.
- Nandagopall mendedikasikan anugerah kepada individu yang berasa terpinggir dan berharap kisah Ajay memberi inspirasi kepada mereka.
KUALA LUMPUR: Pelakon, Nandagopall Mohan mencipta sejarah apabila meraih Anugerah Pelakon Baharu Terbaik menerusi filem Sayang Sayang di Golden Horse Awards Ke-63 yang berlangsung di Taipei Music Center, Taipei, Taiwan pada Ahad.
Ketika menerima anugerah tersebut, Nandagopall turut menitipkan penghargaan kepada mereka yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menghidupkan watak Ajay.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mempercayai dan memberikan peluang kepada saya untuk membawa kisah ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada Ajay kerana memilih saya untuk menceritakan kisahnya.
“Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua insan yang pernah berasa terpinggir, terpaksa memendam perasaan atau merasakan suara mereka tidak didengari.
"Saya berharap melalui kisah Ajay, mereka akan menemui suara sendiri, belajar menerima diri dan menghargai siapa diri mereka sebenarnya,"katanya.
Menerusi Sayang Sayang, Ajay lakonan Nandagopall itu mengisahkan seorang remaja kurang pendengaran dan tidak boleh bertutur yang mempunyai minat mendalam terhadap tarian.
Filem Sayang Sayang Diterbitkan oleh More Entertainment Sdn Bhd dan IS Entertainment Co., Ltd dengan kerjasama Astro Shaw, meraih lima pencalonan di Golden Horse Awards Ke-63, merangkumi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Mhia Firdaus, Pelakon Baharu Terbaik, Lakon Layar Asal Terbaik, Kesan Visual Terbaik dan Kesan Bunyi Terbaik.
Filem arahan pengarah Taiwan, Tang Hsiang-Chu itu merupakan sebuah filem kerjasama produksi Malaysia dan Taiwan yang mengangkat kisah kekeluargaan, kasih sayang serta kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.
Selain Nandagopall, Sayang Sayang turut dibintangi barisan pelakon Malaysia dan Taiwan termasuk Amir Ahnaf, Khir Rahman, Farah Ahmad, Mhia Firdaus, Jo Kukathas, Sasha Tang, Ong Ai Leng dan Lee Lee-Zen.
Orang ramai masih berpeluang menyaksikan sendiri persembahan lakonan Nandagopall Mohan menerusi filem Sayang Sayang yang mula ditayangkan sejak 5 November lalu.