LOS ANGELES: Filem biopik legenda muzik Michael Jackson berjudul "Michael" mencatatkan prestasi luar biasa apabila kutipan pembukaan globalnya dijangka mencecah AS$206 juta (kira-kira RM813.7 juta) pada hujung minggu pertama tayangan.
Naskhah terbitan Lionsgate itu memulakan tayangan domestik di Amerika Syarikat dengan kutipan AS$39.5 juta (kira-kira RM156 juta) pada Jumaat, sekali gus menjadikannya pembukaan hari pertama terbesar dalam sejarah bagi genre biopik muzik.
Advertisement
Prestasi memberangsangkan itu membolehkan "Michael" mengatasi rekod pembukaan filem biopik terdahulu seperti "Bohemian Rhapsody" dan "Straight Outta Compton".
Selain pasaran Amerika Utara, filem berkenaan turut mengungguli carta box office di 64 negara termasuk United Kingdom, Perancis, Jerman dan Australia.
Hampir 40 peratus daripada kutipan domestik disumbangkan menerusi tayangan skrin format premium seperti IMAX.
Walaupun menerima ulasan bercampur daripada pengkritik profesional, filem arahan Antoine Fuqua itu mendapat sokongan padu penonton dengan skor audiens mencecah 96 peratus di laman Rotten Tomatoes.
Filem yang dibintangi oleh anak saudara Michael sendiri, Jaafar Jackson, diterbitkan dengan anggaran bajet antara AS$155 juta hingga AS$200 juta.
Lionsgate mengumumkan projek biopik berkenaan pada 2022 bagi mendokumentasikan perjalanan seni “King of Pop” itu, bermula dari era Jackson 5 hingga kemunculannya sebagai antara figura paling berpengaruh dalam industri muzik dunia.
Momentum tontonan global Michael dijangka terus meningkat, dengan sasaran kutipan akhir berpotensi mencecah AS$1 bilion, sekali gus mengukuhkan legasi Michael Jackson dalam industri hiburan antarabangsa.