Skip to main content
Advertisement

Hiburan

Bro Pagi gegar tawan puncak Menara Kuantan 188, cipta sejarah siaran radio di Puncak ECER

THR-Astro AWANI
Penyampai Bro Pagi Gegar, Issey dan Fizie bersiaran secara langsung dari puncak Menara Kuantan 188 dalam satu aktiviti unik yang menggabungkan radio dan budaya Pantai Timur.
Advertisement

KUANTAN: Dua penyampai Bro Pagi Gegar THR GEGAR, Issey dan Fizie mencipta satu lagi detik istimewa apabila berjaya menawan puncak Menara Kuantan 188, sekali gus membawa pengalaman bersiaran radio ke tahap yang lebih tinggi.

Cabaran tersebut bukan sekadar menyaksikan Issey dan Fizie menawan puncak menara berkenaan, malah kedua-dua penyampai turut bersiaran secara langsung dari puncak Menara Kuantan 188, memberikan pengalaman unik kepada pendengar THR GEGAR.

Lebih menarik, Issey dan Fizie turut menghidupkan suasana dengan berdikir barat di puncak Menara Kuantan 188, menjadikan momen tersebut antara pengalaman paling unik dalam sejarah kandungan radio THR GEGAR.

Pengurus Jenama THR GEGAR, Azah Sahrin berkata, aktiviti tersebut membuktikan kreativiti penyampai THR GEGAR dalam membawa kandungan radio keluar daripada studio dan mendekatkan pengalaman radio kepada pendengar dalam suasana yang luar biasa.

“Apa yang dilakukan oleh Issey dan Fizie hari ini bukan sekadar menawan puncak Menara 188, tetapi turut membawa THR GEGAR ke satu pengalaman yang cukup istimewa. Mereka bersiaran secara langsung dari puncak menara dan yang paling menarik, turut mempersembahkan dikir barat pada altitud tertinggi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)", katanya.

“Ini merupakan satu detik yang sangat bermakna buat THR GEGAR kerana kami sentiasa mahu mencipta kandungan yang segar, dekat dengan pendengar dan pada masa sama meraikan identiti serta budaya Pantai Timur. Dikir barat yang dibawakan oleh Issey dan Fizie di lokasi setinggi ini menjadikan pengalaman tersebut lebih istimewa,”ujarnya lagi.

Menurut Azah, pencapaian tersebut turut memperlihatkan kemampuan THR GEGAR dalam mengintegrasikan elemen hiburan, radio secara langsung dan budaya tempatan dalam satu pengalaman yang dekat dengan komuniti.

“THR GEGAR akan terus mencari idea dan pengalaman baharu untuk dibawakan kepada pendengar. Kami mahu setiap aktiviti bukan sahaja menghiburkan, tetapi mempunyai nilai tersendiri dan meninggalkan kenangan kepada pendengar,” tambahnya.

Must Watch Video

Advertisement