SEOUL: Anggota kumpulan K-pop BLACKPINK, Jennie, bakal melancarkan album mini (EP) solo digital baharunya bertajuk "Fallen Angel" minggu ini.
Agensinya, OA Entertainment (Odd Atelier), berkata EP berkenaan akan dilancarkan menerusi platform penstriman digital global pada 28 Ogos, jam 1 petang waktu Korea Selatan (12 tengah hari waktu Malaysia).
EP itu mengandungi tiga lagu iaitu lagu utama FALLEN ANGEL, selain HEAVEN dan Less than a Lover.
OA Entertainment turut memaklumkan versi khas album itu akan memuatkan tiga lagu tambahan iaitu Sweettooth, Lockitdown dan Face, yang dipilih sendiri oleh Jennie sebagai hadiah kepada peminatnya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan agensi berkenaan, Jennie berkata dia gembira kerana karya muzik yang dihasilkan daripada pengalaman peribadi dan ekspresi diri akhirnya dapat diperdengarkan kepada peminat di seluruh dunia.
OA Entertainment turut mengesahkan prapesanan bagi album tersebut akan dibuka kepada peminat bermula 26 Ogos pada jam 11 pagi waktu Korea Selatan.