Skip to main content

Hiburan

Konsert ‘comeback’ BTS habis terjual, 260,000 peminat dijangka banjiri Seoul

51768351719_TBBTS.jpg
Konsert percuma bertajuk ‘BTS THE COMEBACK LIVE | ARIRANG’ itu dijadualkan berlangsung pada 21 Mac ini di Dataran Gwanghwamun bagi meraikan pelancaran album studio kelima mereka, Arirang. -Gambar fail

SEOUL: Tiket bagi konsert kemunculan semula kumpulan K‑pop tersohor, BTS, habis ditempah dalam hanya beberapa minit sebaik jualan dibuka malam Isnin, sekali gus mencetuskan fenomena luar biasa di pusat bandar raya ini.

Konsert percuma bertajuk “BTS THE COMEBACK LIVE | ARIRANG”, yang dijadual berlangsung pada 21 Mac di Dataran Gwanghwamun, dianjurkan bagi meraikan pelancaran album studio kelima mereka, Arirang.

Advertisement

Persembahan selama satu jam di hadapan Istana Gyeongbokgung itu menandakan kemunculan penuh pertama BTS dalam tempoh hampir empat tahun selepas kesemua tujuh anggotanya menamatkan latihan ketenteraan wajib.

Pihak berkuasa Korea Selatan menjangkakan sekitar 260,000 peminat akan membanjiri kawasan pusat bandar Seoul, walaupun hanya 15,000 tiket rasmi disediakan untuk zon tempat duduk dan berdiri.

Platform NOL Ticket dilaporkan mengalami gangguan teknikal apabila lebih 100,000 pengguna cuba mengakses laman tempahan tepat jam 8 malam, menyebabkan ramai peminat mengambil langkah ekstrem termasuk menggunakan berbilang peranti di kafe PC berinternet pantas.

Bagi menangani limpahan pengunjung, polis Seoul dan kerajaan bandar raya menyediakan kawalan keselamatan tahap tinggi serta pelan pengurusan trafik yang digelar “stadium maya”, merangkumi 29 laluan keluar-masuk.

Polis turut mengeluarkan amaran tegas terhadap aktiviti penipuan dan ulat tiket, dengan undang‑undang baharu membenarkan denda sehingga 50 kali ganda harga asal bagi kes penjualan semula tiket.

Setakat ini, 34 hantaran penipuan berjaya dikesan dan dipadamkan.

Kehadiran besar peminat dijangka memberi impak ekonomi besar atau “BTS‑nomics” kepada sektor perhotelan dan peruncitan, dengan laporan menunjukkan harga penginapan di sekitar Seoul meningkat mendadak berbanding kebiasaan.

Bagi peminat yang tidak berjaya mendapatkan tiket, konsert bersejarah ini akan disiarkan secara langsung ke lebih 190 negara menerusi platform penstriman Netflix.

Ia menandakan kali pertama perkhidmatan penstriman global tersebut menyiarkan konsert langsung bagi seorang artis secara eksklusif kepada penonton di seluruh dunia.
 

Must Watch Video