KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor dan ahli politik Indonesia, Kris Dayanti menyatakan rasa terharu dan berbesar hati apabila berpeluang bertemu isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Putrajaya, semalam.
Menurut Kris Dayanti, pertemuan itu bukan sahaja membuka ruang pertukaran pandangan mengenai pengalaman dalam dunia politik, malah menjadi medan memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan Indonesia.
Penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Menghitung Hari itu menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai seorang tokoh wanita yang cukup menginspirasikan dan banyak berkongsi pengalaman sepanjang perjuangan dalam arena politik.
“Saya bertuah kerana Dr Wan Azizah berkongsi pengalaman beliau dalam perjuangan politik selain menasihati saya agar terus tekad dalam gelanggang politik. Beliau berkata, usaha memperkasakan wanita merupakan suatu perjuangan yang murni.
“Beliau juga berpandangan bahawa wanita hari ini mempunyai pemikiran dan daya kepimpinan yang luar biasa,” kata Kris Dayanti kepada Astro AWANI dalam satu pertemuan, di sini, malam tadi.
Kris Dayanti turut mendedahkan bahawa pertemuannya dengan Dr Wan Azizah membawa salam daripada Presiden Kelima Indonesia dan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Soekarnoputri.
Menurutnya, antara mesej penting yang disampaikan ialah keperluan memastikan hubungan dua negara serumpun itu sentiasa berada pada tahap paling kukuh.
“Saya senang sekali bertemu Datin Seri. Beliau sangat lemah lembut, peramah dan banyak bertanya mengenai kerjaya seni, politik dan kehidupan saya.
“Saya juga terkejut kerana Datin Seri mengetahui saya begitu aktif dalam sukan wushu dan beliau sangat tekun mendengar cerita saya,” katanya sambil menambah Dr Wan Azizah turut terkejut apabila mengetahui beliau kini mempunyai dua orang cucu.
Kris Dayanti berkata, pertemuan tersebut cukup bermakna kerana mempertemukan dua wanita yang berkongsi pengalaman sebagai isteri, ibu, nenek dan pejuang politik.
“Pokoknya, pertemuan kami adalah pertemuan antara wanita, isteri, ibu, nenek dan pejuang politik. Saya sangat berterima kasih atas masa yang beliau luangkan,” katanya.
Sementara itu, menerusi hantaran di Instagram, selebriti berusia 51 tahun itu merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan berterusan terhadap perjalanan seni beliau sepanjang beberapa dekad.
“Betapa indahnya ketika muzik mampu mempertemukan generasi, merawat kenangan, sekali gus membuka ruang bagi kreativiti baharu.
“Terima kasih Malaysia atas sambutan hangat dan cinta yang tidak pernah berubah sepanjang perjalanan muzik saya,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Kris Dayanti turut menyampaikan salam hormat kepada Dr Wan Azizah serta rakyat Malaysia, sambil menyifatkan pertemuan dengan tokoh berkenaan sebagai satu penghormatan besar.
Menurut beliau, perjalanan hidup dan pengabdian Dr Wan Azizah memberikan teladan bahawa kekuatan seorang wanita tidak semestinya dizahirkan melalui kata-kata yang besar, sebaliknya melalui keteguhan hati, kesabaran dan kesetiaan terhadap nilai perjuangan.
“Merupakan suatu kehormatan bagi saya dapat mengenali sosok perempuan yang begitu menginspirasikan,” katanya.
Pertemuan itu sekali lagi memperlihatkan bagaimana seni dan diplomasi budaya mampu menjadi jambatan yang menghubungkan tokoh-tokoh berpengaruh dari kedua-dua negara, sekali gus memperkukuh hubungan erat Malaysia dan Indonesia yang telah terjalin sekian lama.