PENGACARA dan penyampai radio ERA, Radin meluahkan rasa syukur selepas sah bergelar suami kepada suri pilihan hatinya iaitu, Nur Amirah Shamsulbahrin pada Jumaat.
Menurut Radin, keperibadian isterinya yang jujur dan ikhlas menjadi antara faktor utama yang membuka hatinya untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam hubungan mereka.
Advertisement
“Perwatakan dia tidak sama dengan wajah. Kalau tengok wajah dia nampak sopan, ayu dan santun, itu satu hal. Tapi bila melihat kejujuran dan keikhlasan dia bersama saya, itu yang buat saya yakin.
“Saya terus terang cakap dengan dia, fasa ini bukan untuk main-main. Mira adalah seorang ibu tunggal dengan tiga orang anak. Tapi perkara itu langsung tidak menjadi halangan buat saya,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Radin tidak melihat tanggungjawab yang harus dipikul sebagai bapa 'express' itu sebagai beban.
Menurut penyampai slot 3 Pagi ERA itu, dia percaya Amira akan sentiasa bersamanya untuk membantu memikul tanggungjawab baharu itu.
“Saya ada Mira, dia akan bantu saya dan sentiasa bersama saya. Ini bukan satu beban, tetapi satu tanggungjawab yang baharu,” ujarnya.
Terdahulu, Radin selamat diijabkabulkan dengan Nur Amirah Shamsulbahrin dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Ukay Perdana.
Radin atau nama sebenarnya Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, 36, dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Shamsulbahrin dalam suasana sederhana namun meriah.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Bukit Antarabangsa, Ustaz Abdul Hakim Abdul Rahman, serta dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak. -- Gempak