Skip to main content

Hiburan

Pak Nil cipta sejarah baharu, tubuh K4LAM, pertaruh AI dalam single sulung ‘MUSA’

Sumber: Astro AWANI
Aznil Nawawi (tengah) bersama empat anggota kumpulan vokal K4LAM yang mengangkat eksperimen penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan muzik.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Selepas lebih 30 tahun mencipta nama sebagai antara figura paling berpengaruh dalam industri hiburan tempatan, Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil membuka lembaran baharu dalam karier seninya menerusi penubuhan kumpulan vokal K4LAM yang mengangkat eksperimen penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan muzik.

Pengacara yang sinonim dengan gelaran Pengacara Nombor 1 Malaysia itu berkata, penggunaan AI dalam muzik tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada kreativiti manusia, sebaliknya, sebagai teknologi yang mampu membuka ruang baharu kepada pengkarya untuk bereksperimen dan memperluaskan imaginasi seni.

Menurut Pak Nil, AI hanyalah satu lagi alat dalam proses penciptaan muzik yang sentiasa berkembang seiring perubahan teknologi sejak sekian lama.

“AI ini bukan datang untuk menggantikan manusia. Ia cuma membuka satu lagi ruang untuk manusia mencuba sesuatu yang sebelum ini mungkin mengambil masa atau memerlukan pendekatan berbeza.

“Apa yang penting ialah bagaimana manusia menggunakan teknologi itu secara bertanggungjawab dan beretika,” katanya.

Kumpulan K4LAM yang ditubuhkan secara berperingkat sejak Februari 2026 dianggotai empat anak seni iaitu Isa Khan, Danny, Zulhilmi Zolkefli dan Allif Firdaus.

Kesemua mereka dipilih berdasarkan kesesuaian dengan konsep yang dirancang Pak Nil sebelum mendapat sentuhan penerbit tersohor, AG Coco, yang bertanggungjawab membentuk identiti muzik kumpulan tersebut.

Menurut Pak Nil, penubuhan K4LAM turut merealisasikan impian yang telah lama disimpannya untuk membentuk sebuah kumpulan vokal yang menonjolkan kekuatan harmoni suara serta membawa pendekatan berbeza dalam pasaran muzik tempatan.

Eksperimen tersebut diterjemahkan menerusi single sulung berjudul MUSA, yang dihasilkan melalui gabungan idea kreatif Pak Nil bersama AG Coco dengan bantuan teknologi AI bagi membentuk melodi, struktur bunyi dan suasana muzik yang diinginkan.

Apa yang menjadikan karya itu lebih unik ialah penggunaan lirik yang diadaptasi daripada terjemahan ayat al-Quran, khususnya daripada Surah Taha dan Surah An-Naml, sekali gus memberikan dimensi kerohanian kepada karya berkenaan.

Bagaimanapun, Pak Nil menegaskan, beliau tidak pernah menganggap MUSA sebagai hasil ciptaan peribadinya, sebaliknya, melihat soal pengiktirafan dan etika sebagai perkara yang perlu dipelihara dalam penghasilan karya yang melibatkan teknologi AI.

“Saya tidak akan mengakui MUSA adalah lagu ciptaan Pak Nil. Kalau kita menggunakan AI dalam proses menghasilkan karya, kita perlu jujur tentang bagaimana karya itu terhasil.

“Sekiranya kita menggunakan AI untuk membantu menghasilkan sesuatu kemudian mengambil keseluruhan kredit, saya rasa itu juga tidak beretika,” katanya.

Walaupun menggunakan bantuan teknologi AI, proses pembikinan MUSA masih melibatkan sentuhan manusia dalam aspek penerbitan dan rakaman vokal yang dikendalikan AG Coco di studio miliknya, Kamar Seni.

Pak Nil turut menjelaskan,MUSA tidak dihasilkan dengan tujuan untuk dipertandingkan, sebaliknya sebagai eksperimen kreatif yang cuba menghubungkan teknologi moden dengan mesej yang lebih besar.

Sehubungan itu, beliau berharap karya tersebut mampu menjadi pencetus kepada khalayak untuk lebih mendekati dan memahami kandungan al-Quran.

“Kalau selepas mendengar MUSA ada yang terdorong untuk membuka al-Quran, mencari Surah Taha atau Surah An-Naml dan membacanya sendiri, bagi saya itu sudah cukup bermakna,” katanya.

MUSA kini boleh didengari di semua platform penstriman digital bersama video muzik rasmi yang dilancarkan pada 26 Ogos lalu.

 

Must Watch Video

Advertisement