LOS ANGELES: Pelakon veteran Amerika Syarikat, Michael Gray, yang terkenal menerusi siri adiwira Shazam! pada era 1970-an, meninggal dunia pada usia 75 tahun.
Wakil pengurusannya mengesahkan Gray menghembuskan nafas terakhir pada 16 Okt di kediamannya di Palm Desert, California, lapor Independent.
Dilahirkan di Chicago, Gray mula meraih perhatian ramai selepas membawakan watak Billy Batson dalam siri aksi langsung Shazam! terbitan rangkaian CBS yang bersiaran selama tiga musim dari 1974 hingga 1976.
Menerusi siri tersebut, wataknya digambarkan sebagai seorang remaja yang memiliki kuasa ajaib untuk bertukar menjadi adiwira Captain Marvel, yang kini lebih dikenali sebagai Shazam, selepas menyebut nama watak berkenaan.
Rakan pelakonnya yang turut membintangi siri itu, John Davey, menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Gray dan menyifatkannya sebagai seorang yang penyayang, ceria serta gemar meluangkan masa bersama peminat di pelbagai acara Comic-Con.
Sebelum mencipta nama menerusi Shazam!, Gray memulakan kerjaya televisyennya menerusi sitkom NBC The Little People pada 1972 sebelum muncul dalam beberapa program popular lain termasuk The Brady Bunch, The Flying Nun dan Dynasty.
Sebagai penghargaan terhadap siri asal itu, beliau turut membuat penampilan khas dalam filem Shazam! Fury of the Gods yang ditayangkan pada 2023.
Gray meninggalkan balu, Stacy Benon Gray, yang dikahwininya sejak 1994, selain dua anak tiri, Ryan Cooper dan Laurel Cooper, serta menantu, Lee Barker.