Skip to main content

Hiburan

Pemilihan Jeff oleh Allahyarham Mael bukan sebarangan, Amy ada ‘magis’ tersendiri — Yantoi

Yantoi XPDC
Menghampiri usia 60-an, Yantoi (kiri) masih aktif dalam industri muzik tempatan. -Foto Astro AWANI

NAMA Yantoi bukan asing dalam kalangan peminat muzik heavy metal tanah air, khususnya menerusi kumpulan legenda XPDC apabila beliau merupakan antara individu penting di sebalik penghasilan beberapa album yang mencetus fenomena suatu ketika dahulu.

Kini menghampiri usia 60-an, pemain bass itu masih aktif dalam industri muzik tempatan.

Walaupun era kegemilangan rock kapak 1980-an dan 1990-an telah berlalu, peminat masih merindui sentuhan muziknya dalam karya tempatan.

Ketika ditemui pada sesi fotografi bersama XPDC di ibu negara pada Isnin malam, Yantoi kelihatan cergas dan bersemangat sambil mengimbau kenangan bersama kumpulan itu.

Konsert yang bakal berlangsung pada Ogos ini turut mencetus keterujaannya kerana sudah lama tidak berkongsi pentas dengan XPDC.

“XPDC ada sentuhan magis tersendiri. Kali terakhir saya bersama mereka sudah terlalu lama, mungkin puluhan tahun dahulu di Terengganu.

“Sebab itu apabila mereka menjemput saya untuk konsert Ogos ini, ia seperti mengimbau kembali zaman kegemilangan XPDC,” katanya kepada Astro AWANI di Odeon, Kuala Lumpur.

Image
Yantoi XPDC

Mengulas barisan semasa XPDC, Yantoi berkata walaupun tidak lagi sama seperti dahulu, aura kumpulan itu kekal kuat. Menurutnya, pemain gitar utama ketika ini, Jeff, memiliki kemampuan luar biasa dalam membawakan karya XPDC.

“Allahyarham Mael sangat teliti dalam setiap pemilihan. Beliau membawakan karya dengan penuh jiwa. Apabila beliau memilih Jeff, itu bermakna kemampuan pemain tersebut telah dinilai secara menyeluruh,” katanya.

Yantoi turut memuji pemain dram Amy yang disifatkan mempunyai ‘magis’ tersendiri dalam setiap ketukan.

“Ketukan dram Amy, semua orang kenal ‘magis’-nya. Sebagai pemain bass, kita boleh merasai arah dan aliran muzik itu dengan tepat,” katanya.

XPDC dijadual mengadakan konsert istimewa pada Ogos ini di Odeon, Kuala Lumpur.

 

Must Watch Video

Advertisement