KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama 'menumpang' di stesen-stesen radio, akhirnya peminat muzik Hindi dan Punjabi kini memiliki platform sendiri menerusi pelancaran Sama Sama Oye!, radio digital khas pertama di Malaysia.
Platform radio digital yang memfokuskan sepenuhnya kepada dunia Bollywood dan Punjabi di Malaysia itu menawarkan penstriman 24 jam menerusi aplikasi mudah alih dan laman web.
Pendengar juga boleh menikmati pelbagai kandungan menarik seperti muzik Bollywood dan Punjabi, podcast, temu bual selebriti serta program interaktif bersama penyampai radio (RJ).
Diasaskan personaliti radio, Gina Dhaliwal, stesen itu dilihat sebagai platform yang meraikan kecintaan rakyat Malaysia terhadap muzik dan hiburan India yang sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya tempatan.
Menurutnya, muzik Bollywood sememangnya dekat di hati masyarakat Malaysia sejak dahulu lagi, sama ada ketika majlis perkahwinan, sambutan perayaan mahupun hiburan harian.
"Bollywood sentiasa hidup dalam hati rakyat Malaysia. Sama Sama Oye! cuma memberikan cinta itu sebuah 'rumah'… tempat untuk muzik, cerita dan budaya kita diraikan bersama," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Ahad.
Tambah Gina, Sama Sama Oye! turut menampilkan gabungan penyampai radio baharu dan dikenali dalam kalangan peminat radio tempatan dengan pelbagai program santai serta kandungan yang lebih dekat dengan komuniti.
Menurutnya, selain siaran langsung, pendengar juga boleh menikmati senarai lagu pilihan, sesi perkongsian, wawancara eksklusif dan pelbagai segmen interaktif menerusi media sosial rasmi stesen berkenaan.
Menariknya, katanya, platform itu bukan sekadar radio digital, malah bakal memperluaskan pengaruh menerusi aktiviti komuniti seperti jerayawara (roadshow), acara budaya dan sesi bersama pendengar di seluruh negara.
"Dalam usaha mencari bakat baharu, Sama Sama Oye! juga akan memperkenalkan pertandingan digital dikenali sebagai The Great RJ Search Oye bagi memberi peluang kepada individu berbakat menjadi suara baharu stesen itu," ujarnya.
Kata Gina, pelbagai program menarik sedang dirancang untuk pendengar termasuk rancangan santai berkaitan dunia hiburan, perkongsian perniagaan, segmen seram dan banyak lagi kandungan menarik.
Aplikasi Sama Sama Oye! kini tersedia untuk dimuat turun di App Store dan Google Play.