Skip to main content

Hiburan

Trevor Noah bakal gegar Kuala Lumpur, julung kali tampil di Malaysia

INSTA @placesmalaysia
Trevor Noah bakal mengadakan persembahan pertama beliau di Malaysia menerusi satu pertunjukan khas di Idea LIVE Arena, Kuala Lumpur pada 9 November depan. - Gambar Instagram @placesmalaysia
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelawak antarabangsa dan bekas hos program popular The Daily Show, Trevor Noah bakal mengadakan persembahan pertama beliau di Malaysia menerusi satu pertunjukan khas di Idea LIVE Arena, Kuala Lumpur pada 9 November depan.

Kehadiran Noah ke negara ini menandakan penampilan sulung beliau di Malaysia selepas sekian lama dinanti peminat tempatan, sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai antara destinasi persinggahan dalam jelajah Asia 2026 beliau.

Persembahan yang dijadual bermula pada pukul 8 malam itu dijangka menampilkan gabungan humor tajam, penceritaan bersahaja serta pandangan global yang menjadi keunikan figura kelahiran Afrika Selatan tersebut.

Noah mula meraih perhatian antarabangsa selepas mengambil alih tugas sebagai hos The Daily Show pada 2015. 

Sepanjang tujuh tahun menerajui program itu, beliau dikenali kerana pendekatannya yang segar dalam mengupas isu politik, budaya dan masyarakat global.

Selepas meninggalkan rancangan berkenaan pada 2022, Noah terus mengembangkan kerjayanya menerusi penerbitan kandungan digital, podcast What Now? With Trevor Noah, selain menerajui syarikat produksinya, Day Zero Productions, dan Yayasan Trevor Noah.

Tahun ini turut menyaksikan Noah kembali mengacarakan Anugerah Grammy buat kali keenam berturut-turut serta melancarkan naskhah komedi terbaharunya di Netflix, Trevor Noah: Joy in the Trenches.

Selain dikenali sebagai pelawak dan pengacara, Noah juga merupakan penulis buku terlaris Born A Crime: Stories From A South African Childhood, yang terjual lebih tiga juta naskhah di seluruh dunia dan memperkukuhkan reputasinya sebagai pencerita berpengaruh di peringkat antarabangsa.

Menurut penganjur, usaha membawa Noah ke Malaysia mengambil masa kira-kira 14 tahun sebelum akhirnya menjadi kenyataan, sesuatu yang dianggap sebagai pencapaian penting dalam perkembangan industri hiburan langsung tempatan.

Tiket bagi persembahan Trevor Noah Asia Tour 2026 akan mula ditawarkan menerusi sesi prajualan pada 9 September sebelum jualan umum dibuka pada 11 September. 

Harga tiket ditawarkan mengikut kategori tempat duduk yang disediakan.

Kehadiran Noah dijangka menjadi antara acara komedi antarabangsa paling dinanti-nantikan tahun ini, selain memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi persinggahan bagi persembahan hiburan bertaraf dunia.

Must Watch Video

Advertisement