WALAUPUN XPDC sudah mengumumkan lebih awal bahawa mereka tidak akan mengadakan sebarang persembahan sepanjang Ramadan, kumpulan heavy metal legenda tanah air itu masih menerima pelbagai tawaran dan pujukan daripada penganjur karnival untuk membuat persembahan.
Menurut pengurusnya, Yazid Selamat, keputusan untuk berehat dibuat sebelum persembahan istimewa bersama peminat di Bapaku FM pada 14 Februari lalu, yang dianggap sebagai antara persembahan penutup sebelum umat Islam memulakan ibadah puasa.
Advertisement
Persembahan di Gombak itu turut mencatat kejayaan apabila lebih 300 tiket terjual, sekali gus menghimpunkan peminat setia dari seluruh negara.
“Persembahan di Bapaku FM adalah antara momen terbaik kami bersama peminat. Semua anggota XPDC berpeluang mendekati peminat dengan lebih rapat, dan kami menggunakan peluang itu untuk menghargai sokongan mereka sebelum kami berehat pada bulan Ramadan,” katanya kepada Astro AWANI.
Namun, Yazid berkata masih ada penganjur karnival yang terus menghubunginya beberapa hari lalu, termasuk ketika persembahan XPDC di Johor, memujuk agar kumpulan itu tampil pada acara mereka sepanjang Ramadan.
“Benar, sukar untuk kami buat keputusan kerana ramai yang terus memujuk, termasuk di penghujung Ramadan nanti.
"Ada dalam kalangan mereka sangat berjasa kepada XPDC. Insya‑Allah, kita tunggu dan lihat,” ujarnya.
Industri muzik tanah air mengakui XPDC antara kumpulan paling laris dalam kalangan penganjur karnival ketika ini.
Kumpulan yang dianggotai Zuar, Amy, Jeff dan Ary itu mempunyai aura tersendiri sehingga mampu menarik ribuan peminat dan meningkatkan jumlah pengunjung di tapak acara.
Populariti itu terbukti apabila XPDC mengadakan hampir 70 persembahan di seluruh negara sepanjang 2025, sekali gus muncul sebagai band heavy metal paling laris tahun berkenaan.
Walaupun berdepan isu penggunaan jenama XPDC oleh beberapa pihak lain, penganjur karnival sedia maklum siapa “Raja Funfair” yang sebenar — kumpulan yang mempunyai sejarah, tenaga pentas dan pengaruh yang mampu membantu melonjakkan jualan serta sambutan acara mereka.