KUALA LUMPUR: Penyanyi yang sedang meningkat naik, Zaki Yamani mendedahkan dia kini lebih matang dalam mengatur langkah kerjayanya apabila memilih untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang seni, sekali gus mengetepikan cita-cita asalnya untuk bergelar seorang jurutera.
Zaki berkata, keputusan besar itu dibuat bagi memastikan beliau dapat memberikan komitmen 100 peratus terhadap kualiti kerja dan penjenamaan dirinya sebagai artis solo yang serius dalam industri muzik tanah air.
"Dahulu minat saya memang ke arah bidang kejuruteraan. Namun, apabila mula menerima tawaran persembahan sejak usia 16 tahun, saya sedar saya perlu memilih salah satu.
“Saya tidak mahu melakukan dua perkara dalam satu masa kerana bimbang hasilnya tidak seimbang.
"Pengalaman menyertai program realiti banyak membuka mata saya, bidang nyanyian mampu menjadi kerjaya yang menjamin masa depan jika dilakukan dengan disiplin dan fokus yang tinggi," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Akur, di sini, pada Jumaat.
Mengulas mengenai hala tuju muziknya, anak kepada penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah ini menjelaskan, karya terbaharunya merupakan refleksi kepada kematangan emosi yang dilalui sepanjang tahun lalu.
Jelas Zaki, kesedihan akibat kehilangan datuk tersayang dan beberapa insan terdekat menjadi inspirasi utama di sebalik penghasilan lagu-lagu berentak sedih, yang dianggap sebagai medium untuk meluahkan perasaan.
"Bagi saya, setiap lagu perlu ada 'jiwa'. Jika tiada perasaan, penyampaian itu
tidak akan sampai kepada pendengar.
“Saya lebih selesa meluahkan apa yang tersirat di hati melalui melodi berbanding berkongsi secara terbuka dengan orang lain, termasuk keluarga," tambahnya.
Dalam pada itu, Zaki turut menekankan kepentingan menjaga penampilan sebagai seorang anak seni.
Dia menyifatkan disiplin yang diterapkan oleh ibunya sebagai panduan utama dalam membentuk peribadi yang profesional.
“Ibu sentiasa mendidik saya tentang gaya hidup seorang artis. Saya sendiri
sangat mementingkan kekemasan. Walaupun hanya mahu keluar ke kedai serbaneka, saya akan pastikan saya berpakaian kemas dan berkasut.
“Apabila kita menjaga diri, rezeki akan lebih mudah masuk," ujarnya.
Sementara itu, bercerita mengenai single Akur, kata Zaki, lagu itu mengangkat tema cinta, perubahan hati, dan keberanian menerima pengakhiran.
Lagu berkenaandihasilkan oleh Amzar Razqa dan Bunga, dengan lirik hasil tulisan bersama Zaki sendiri.
“Akur adalah tentang melepaskan, bukan kerana sudah tidak cinta, tetapi kerana sedar diri kita tidak lagi diperlukan. Kita kena belajar menerima walaupun bukan itu pengakhiran yang dimahukan,” kongsi Zaki.
Menutup bicara, Zaki menyatakan kesediaannya untuk meneroka bidang lakonan sekiranya menerima tawaran yang bersesuaian, namun tetap dengan prinsip untuk mengelak daripada watak-watak sensitif atau kontroversi demi menjaga imej dan kualiti kerjayanya.