Pada kurun ke-21 ini, membentangkan idea untuk mendapat pembiayaan orang ramai atau crowd funding di dalam talian menjadi medan utama untuk mengumpul dana permulaan.

Terdapat pelbagai idea produk terbaru yang canggih sehinggalah buku untuk pembelajaran kanak-kanak di laman-laman web yang menyediakan perkhidmatan pembiayaan orang ramai.

Disebalik pelbagai idea untuk mewujudkan teknologi terbaru dalam permainan video, permainan tradisional tetap mencuri perhatian orang ramai.

Ini terbukti kerana sebuah idea permainan kad, Exploding Kittens mencipta sejarah di laman web Kickstarter.com.

Idea bagi permainan itu mencipta sejarah dengan jumlah pembiaya paling ramai di Kickstarter sekaligus membuktikan permainan tradisional masih relevan pada kurun ke-21 ini.

Exploding Kittens pada asalnya mahu mengumpul dana sebanyak AS$10,000 menerusi pengenalan projek di Kickstarter untuk memulakan perniagaan mereka.

Namun Exploding Kittens mengutip dana di luar jangkaan iaitu AS$8.7 juta daripada 219,382 pembiaya, iaitu sekitar 87,000% daripada sasaran asalnya.

Siapa sangka, salah seorang yang mencetuskan idea bagi permainan tradisional ini adalah bekas ketua pereka permainan video Microsoft Xbox, Elan Lee.

Cara permainan kad Exploding Kittens juga tidaklah secanggih yang disangka.

Pemain secara bergilir mempamerkan kad masing-masing dan pemain yang gagal membalas atau mematikan kad kucing yang membawa bom akan terkeluar daripada permainan.

Exploding Kittens mengatasi projek Kickstarter, 'Bring Reading Rainbow Back For Every Child, Everywhere!' yang sebelum ini menerima pembiaya paling ramai iaitu 105,857 orang.

Lee bersama rakan kongsinya Matthew Inman dan Shane Small mengucapkan jutaan terima kasih kepada komuniti yang membiayai idea mereka.

Mereka juga menganggap tiada idea yang terlalu besar, tiada yang mustahil dan luar biasa dalam komuniti pembiayaan orang ramai ini.