BEBERAPA kali kita telah diacah mengenai ciri baharu pada iOS 18 yang akan memberikan perubahan terbesar pada sistem operasi ini.

Dalam pertemuan dengan pemegang saham semalam, Tim Cook mengatakan Apple akan “membuat penemuan baharu” dalam arena kecerdasan buatan (AI) generatif tahun ini.

Apakah yang dimaksudkan dengan penemuan baharu ini masih lagi menjadi tanda tanya, cuma beliau percaya ia akan membuka peluang transformatif bagi pengguna Apple.

Pada ketika ini, AI ialah teknologi paling hangat dengan Google, Meta dan Microsoft kesemuanya memberikan tumpuan kepadanya berbanding teknologi lain.

Semalam kami melaporkan Apple menghentikan pembangunan kereta elektrik mereka yang telah diusahakan sejak 2015 bagi memberikan tumpuan lebih kepada pembangunan AI.

Dengan Android sudahpun mempunyai ciri AI yang cukup menakjubkan tahun ini, Apple tidak boleh duduk diam tanpa memberikan ciri yang sama dalam masa terdekat. -Amanz