Kelab gergasi La Liga, Barcelona kini sah bakal beradu kekuatan dengan skuad kebangsaan, pada 10 Ogos ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Justeru, buat julung kalinya peminat bola sepak tempatan berpeluang menyaksikan dengan dekat, kelibat Lionel Messi, David Villa, Xaxi dan Andreas Iniesta.

Selain Malaysia, Barca akan turut mengakan aksi persahabatan di China dan Thailand dalam rangka lawatan Jelajah Asia kelab Catalan itu.

Pujian buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), yang turut berjaya menjalin kerjasama dengan Barca untuk program pembangunan futsal negara.

Mungkin ramai peminat kurang sedar, Barcelona juga turut memiliki pogram pembangunan futsal yang berkesan dan Sepanyol, juga mempunyai saingan liga futsal yang terbaik di benua Eropah.

Ada baiknya juga, jika FAM berusaha mendapatkan persetujuan Barcelona, untuk menghantar beberapa pemain Harimau Muda berlatih di akademi kelab itu yang terjenal, La Masia.

Selain pemain pelapis kebangsaan, tiada salahnya jika pengendali Harimau Muda A dan B, Ong Kim Swee serta Razip Ismail ke akademi tersebut, untuk melihats sendiri bagaimana kaedah latihan dan pendekatan yang digunakan dalam menghasilkan produk berkualiti.

Sepanjang minggu ini juga, saya tertarik dengan kelibat awang import baru kelab Johor Darul Takzim (D-T), Leonel Nunez yang kini mula mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Nunez dibawa masuk skuad D-T bagi menggantikan kelibat Danny Guiza, yang mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya lebih awal.

Biarpun bertubuh gempal dan kelihatan sedikit terlebih berat badan, Nunez memiliki teknik rembatan yang baik dan sering menerjah gawang lawan.

Selepas dua perlawanan dengan Harimau Selatan, Nunez sudah berjaya meledak tiga gol, termasuk jaringan kemenangan bedepan Pahang dalam aksi Liga Super, Jumaat lalu.

Kehadiran awang import seperti Nunez, jelas berjaya menambah kehangatan saingan Liga M musim ini.

Minggu ini juga berlangsungnya penamaan calon bagi PRU ke-13 pada 20 April dan ia turut membabitkan beberapa pegawai sukan, yang bersaing sama ada di kerusi DUN ataupun Parlimen.

Antara yang akan bertanding ialah Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal bagi kerusi DUN Templer yang akan dipertahankannya.

Turut bertanding ialah bekas Timbalan Presiden FAM, YB Khairy Jamaluddin bagi kerusi Parlimen Rembau.

Saya ingin mengambil kesempatan, untuk mengucapkan selamat berjuang buat Subahan, Kahiry dan kesemua pegawai-pegawai sukan yang terbabit dalam PRU ke-13 kali ini.