SESUNGGUHNYA sebagai seorang Islam, antara cabaran getir yang wajib kita hadapi ialah cabaran mengekalkan kehidupan ini agar sentiasa berada di atas landasan agama. Iman yang menjadi penjaga kelakuan dan gerak geri kita adakalanya naik dan adakalanya merudum teruk. Sudah tentu turun naik kualiti iman ini mempengaruhi ketaatan kita kepada Allah. Maka, marilah kita dari masa ke semasa meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan kita sedaya upaya kita menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Islam adalah agama yang lengkap. Sekali-kali ajarannya tidak pernah bertembung dan menganiaya mana-mana makhluk termasuklah makhluk yang dilantik sebagai khalifah iaitu manusia. Hatta makhluk yang tidak bernyawa pun dijaga haknya oleh Islam. Banyak ayat al Quran dan Hadith Rasulillah SAW yang melarang melakukan kerosakan di atas mukabumi ini. Apatah lagi hak-hak manusia , sudah tentu amat dipelihara oleh Islam sejak awal lagi bahkan sudah wujud sebelum wujudnya lagi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Namun amat mendukacitakan perkembangan mutakhir ini apabila dipotretkan Islam seolah-seolah bertentangan dan sering meminggirkan hak asasi manusia. Sebagai contoh :- Kes Azizul Rahem bin Awaluddin dan Isterinya Shalwati Norshal yang masih ditahan oleh Kerajaan Sweden atas alasan memukul siku dan memarahi anaknya kerana tidak solat. Ia dianggap telah melakukan satu kesalahan dalam sebuah negara yang meletakkan hak asasi manusia melepasi dari menjaga hak Allah sehingga membenarkan perkahwinan sesama jantina dan perkahwinan adik beradik. Sedangkan dalam mendidik anak-anak pendekatan memukul untuk mendidik adalah dibenarkan syarak.

Hadith Rasulullah SAW:

“Suruhlah anak-anak kamu solat ketika umur mereka tujuh tahun dan pukul lah mereka jika mereka masih tidak menunaikan solat ketika umur mereka sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur sesama mereka.” (Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud dan Al Hakim.)

Dalam Islam pembelaan terhadap hak asasi manusia tidak langsung meminggirkan hak-hak Tuhan. Tetapi bagi barat pembelaan hak asasi manusia langsung meminggirkan hak-hak Allah kerana bagi mereka kehendak manusia itu mesti dipenuhi. Lebih mendukacitakan apabila ramai dalam kalangan orang Islam tersilau dengan falsafah perjuangan hak asasi manusia yang meminggirkan hak Allah. Hairan sungguh umat ini, bila kita ke negara mereka, kita kena meraikan budaya di sana namun bila mereka datang ke sini kita juga beriya-iya meniru budaya mereka!

Selain itu, kes cikgu Choy seorang guru di sebuah sekolah di selatan tanah air, seorang muallaf yang diugut dengan berbagai-bagai ugutan oleh pentadbiran sekolah beliau agar menanggalkan tudungnya. Suara-suara garang pejuang hak asasi wanita di Malaysia kali ini tidak kedengaran bahkan membisu seribu bahasa bila ia berkaitan dengan hak asasi yang melibatkan hak asasi wanita muslimah.

Sama keadaannya dengan pembersihan etnik muslim Ronghinya yang sedang berlaku di Mynmar. Ia berlaku di sebuah negeri yang salah seorang rakyatnya diangkat dan dianugerahkan sebagai pejuang hak asasi manusia iaitu Aung San Suu Kyi pemenang hadiah keamanan dunia (Nobel Peace Prize). Hak Asasi Manusia barat seolah-olah menganggap jiwa dan nyawa muslim bukan lagi seorang manusia yang wajib dibela.

Sedangkan dalam Islam, hak nyawa dan harta orang bukan Islam tetap dijamin keselamatannya dan haram mencerobohinya sesuka hati tanpa hak. Islam menjaga hak mereka sedemikian hebatnya kerana menjunjung hak mutlak Allah Tuhan Sekalian Alam yang mengharamkan kezaliman ke atas makhluknya walaupun makhluknya itu mensyirikannya.

Di samping itu juga, rakyat yang belum Islam di negara ini diberikan hak untuk beramal dengan ajaran agama mereka tanpa diganggu kerana ia dijamin oleh Islam dan perlembagaan negara. Mereka berhak untuk menamakan dewa-dewa dan berhala mereka dengan nama-nama mengikut ajaran agama dan kitab-kitab ajaran mereka. Tetapi apabila mereka memperkenalkan berhala-berhala mereka dan dewa-dewa mereka dengan menamakannya sebagai Allah kepada orang Islam maka berhaklah orang Islam menggunakan hak asasi mereka untuk membela hak mutlak Allah yang memperkenalkan zatnya sebagai Esa, Tunggal dan tiada yang menyerupaiNya.

Penguatkuasaan terhadap pesalah-pesalah aqidah dan moral seperti larangan murtad, kesalahan khalwat, zina, homoseksual, lesbian, membuka aurat, meminum arak, makan di khalayak di dalam bulan Ramadhan serta ingatan ulama kepada muda mudi terhadap sambutan Hari Kekasih pada setiap tanggal 14 Februari sering menjadi simbol pertembungan antara Islam dan hak asasi manusia. Sedangkan maksiat dan kemungkaran itu wajib ditegah kerana ia mencabul hak Allah SWT.

Kesimpulannya, kita perlulah menginsafi dan jangan sekali-sekali lupa bahawa di samping hak-hak asasi manusia yang perlu diperjuangkan, hak Allah wajib diutamakan. Selain itu, umat Islam di negara ini hendaklah memahami hak asasi manusia dalam Islam masih di bawah lingkungan perhambaan kita kepada Allah dan manusia tidak terlepas sebebas-bebasnya tanpa had dan kita perlu sedar bahawa ada usaha terancang dan teratur pihak tertentu yang cuba mengheret manusia agar melepaskan diri daripada ikatan hukum hakam agama dalam kehidupan.

---------
*Tuan Haji Zamri Hashim adalah Timbalan Mufti Perak merangkap Yang Dipertua ISMA Cawangan Ipoh
** Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.