Syukur alhamdulilah, selepas dua minggu mengerjakan ibadat umrah, saya kembali menulis buat ruangan ini.

Sebaik pulang ke tanah air, Pilihan Raya Umum PRU ke-13 sudah pun berakhir dengan Barisan Nasional terus mendapat mandat membentuk kerajaan Malaysia.

Kini, Kementerian Belia dan Sukan turut mendapat menteri baru apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kepercayaan kepada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sebagai peneraju utama kementerian itu.

Syabas saya ucapkan kepada YB Khairy dan juga terima kasih, kepada mantan Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang kini Menteri Komunikasi dan Multimedia atas beberapa kejayaan negara dalam bidang sukan, ketika beliau memimpin KBS.

Bagi saya, YB Khairy adalah individu paling tepat, untuk menerajui KBS kini dan ia juga selaras dengan peranannya sebagai Ketua Pergerakkan Pemuda Umna dan BN.

Pengalaman lalu beliau sebagai Presiden Kelab Bola Sepak UPB-My Team dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, FAM pasti sedikit sebanyak akan membantunya dengan tugasan yang lebih besar kini.

"Saya amat memintingkan program pembangunan di peringkat akar umbi dan ia juga perlu membabitkan masyarakat," itulah kata Khairy ketika sidang media pertamanya sebagai Menteri Belia dan Sukan, di Putrajaya, Khamis lalu.

Beliau turut melihat sukan sebagai medium penting untuk menyatukan rakyat.

"Tidak kiralah apa pegangan politik anda, datang dan berbual dengan saya. Beritahu saya apakah jangkaan anda, apakah idea anda.

"Bagi saya, itulah cara saya mempromosi perpaduan negara. Ini adalah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, bukan Kementerian Belia dan Sukan Barisan National (BN). Jadi, saya menjemput mereka untuk berkongsi idea mereka," katanya.

Mungkin masih terlalu awal untuk menilai kemampuan Khairy sebagai Menteri Belia dan Sukan, tetapi beliau sudah memberi gambaran, untuk memperkasakan program pembangunan di peringkat akar umbi.

Sukan Sea 2013 di Myanmar bakal menjadi ujian awal buat Khairy, sebelum cabaran utama, iaitu meraih emas pertama negara di Sukan Olimpik Rio 2016.

Namun saya optimis, apa yang dicanang Khairy di KBS mampu memberi kesan optimis seandainya semua pihak dan agensi di KBS memberi sokongan penuh untuk menjayakannya.