Di Malaysia, setiap akhir tahun kita disajikan dengan dua atau lebih perhimpunan-perhimpunan agung parti politik yang ada di sini.

Dan sempena dengan Muktamar PAS yang telah berlalu dan Perhimpunan Agung UMNO yang bakal menjelang, ia telah mengusik kembali kenangan di fikiran saya sewaktu saya sedang melalui zaman persekolahan saya, iaitu Hari Sukan.

Sewaktu saya di bangku persekolahan, saya telah ditakdirkan untuk dimasukkan ke dalam rumah Biru. Saya tiada pilihan selain pasrah sahaja dengan takdir saya itu. Dan pada waktu itu, sekolah saya mempunyai empat rumah sukan. Biru. Hijau. Merah. Dan Kuning.

Saya dan teman-teman saya terpisah. Ada yang menjadi ahli Rumah Hijau, ada yang menjadi ahli Rumah Merah dan Kuning dan ada yang senasib dengan saya, Rumah Biru.

Itulah keluarga angkat kami di sekolah. Masing-masing mempunyai keluarga angkat masing-masing dan latihan serta persediaan untuk Hari sukan pun dijalankan.

Saat Hari Sukan tiba, kami semua turun padang untuk bertanding dan memberikan sokongan kepada keluarga angkat masing-masing.

Berlangsungnya acara itu, bermacam-macam ragam dapat dilihat. Ada yang terlampau fanatik dengan warna masing-masing, hingga sanggup untuk tidak berteman seketika demi warna mereka. Ada yang neutral dan tidak hiraukan apa-apa yang sedang berlaku. Ada yang belot demi cinta monyet dan ada juga yang memikirkan keuntungan dengan berniaga selama acara itu berlangsung.

Ya, pelbagai kerenah dapat dilihat dan ketaksuban terhadap warna masing-masing sungguh ketara ketika itu.

sports day

Apabila Sang Biru menang, keluarga Biru akan bersorak sakan meraikan kejayaan mereka sambil memperlekehkan warna-warna lain yang kalah. Begitu juga sebaliknya.

Di pengakhiran acara, di saat juara keseluruhan bakal diumumkan, Cuma ada satu hal yang paling penting di dalam fikiran saya dan teman-teman saya. Esok akan cuti.

Benar, kami akan lebih gembira jika Sang Kepala Sekolah mengumumkan sekolah akan ditutup untuk sehari.

Bukan siapa yang menang, atau apa yang akan rumah sukan kami dapat. Tetapi trofi sebenar kami adalah sekolah akan ditutup untuk satu hari.

Apa yang saya ingin sampaikan di sini adalah bukan tentang memori Hari Sukan saya tetapi tentang Malaysia.

sports day

Suasana politik di Malaysia dapat saya bayangkan mirip seperti Hari Sukan sekolah saya.

Masing-masing punya keluarga masing-masing dan semua tentang keluarga kita indah belaka. Dan sama seperti Hari Sukan, ada yang terlampau fanatik, ada yang neutral, ada yang belot dan ada juga yang tidak ambil peduli.

Tragedi perbalahan di dalam keluarga parti masing-masing dapat juga dilihat dan dirasakan hingga meretakkan hubungan erat di antara semua ahli keluarga.

Ada juga yang saya amati telah mencapai kata dua untuk memutuskan tali silaturahim di antara keluarga partinya dan menjadi sebatang kara hanya dengan alasan tidak diberi kepercayaan untuk menjadi kepala penting di dalam keluarga.

Sukar untuk saya percaya, kerana keadaan itu masih berlaku.

Tetapi apa yang lebih mengejutkan saya, masih ada yang menyimpan perasaaan hasad dengki di antara satu sama lain hingga sanggup untuk menabur fitnah dan menjadi gunting di dalam lipatan di dalam keluarganya sendiri.

Sama. Hampir sama.

Maka bagi saya, tidak kiralah siapa yang menang atau yang memerintah, yang penting cuma satu, kebahagiaan Malaysia.

Kita akan lebih bahagia kalau Malaysia menjadi lebih maju dan makmur, bukan?

Jadi, bukan warna yang penting, tetapi asa untuk menjadikan Malaysia lebih maju dan makmur adalah tujuan utama kita.

Kenapa satu warna sahaja kalau kita dapat melihat pelangi sambil tersenyum dan bahagia bersama sebagai satu keluarga besar, Keluarga Malaysia.

Malaysia adalah pelangi dan pelangi adalah Malaysia.