Pemaju hartanah berpangkalan di Kedah, Bina Darulaman Bhd (BDB), berharap kerajaan akan mempercepatkan usaha menyediakan rumah mampu milik kepada pasaran dengan menyediakan laluan khas (green lane) dalam meluluskan permohonan pembangunan dalam Bajet 2017.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Izham Yusoff berkata ini boleh dicapai dengan mengurangkan caj pembangunan yang seterusnya akan meringankan tekanan ke atas margin.

"Pemaju perlu digalakkan untuk mengguna pakai sistem bangunan berindustri (IBS) dalam kerja pembinaan sekarang dan insentif cukai perlu juga diberikan kepada mereka yang mengguna pakai sistem ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemaju menyediakan rumah di bawah skim pembeli rumah pertama kali perlu diberikan insentif kerana langkah ini akan menggalakkan pemaju lain mengambil langkah yang sama.

"Ia boleh jadi dalam bentuk kombinasi insentif cukai, diskaun ke atas caj pembangunan dan mempercepatkan proses kelulusan," katanya.

Bagi kategori isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus pertengahan (M40), beliau berkata mereka perlu diberikan pembiayaan yang lebih longgar dari segi margin, nisbah pinjaman kepada nilai dan proses kelulusan terutamanya bagi pembeli rumah kali pertama.

"Melanjutkan tempoh pinjaman daripada 35 tahun kepada 40 tahun akan memberi manfaat kepada pasaran, memandangkan keupayaan kewangan pembeli rumah kali pertama.

"Meningkatkan peratusan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk membeli rumah atau mengurangkan pembayaran semula gadai janji akan membantu pembeli rumah mengurangkan bukan sahaja komitmen pendahuluan mereka tetapi juga komitmen bulanan mereka," kata Izham.

Mengenai prospek hartanah 2017 Kedah, beliau berkata anak syarikat milik penuh syarikat tersebut, BDB Land Sdn Bhd, akan terus menumpu menyediakan rumah mampu milik bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Sebahagian 85 peratus daripada ini akan dijual pada jajaran harga RM500,000 dan ke bawah, dan kira-kira 1,800 unit adalah rumah berharga RM200,000 dan ke bawah.

"Rumah-rumah mampu milik ini dapat menyediakan kepada keperluan pembeli rumah kali pertama berusia 25 hingga 39 tahun termasuk yang bujang dan keluarga muda, yang sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menyediakan 40,000 rumah mampu milik baharu menjelang 2018," katanya. -- Bernama