Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM20 juta kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Jelasnya, peruntukan itu bagi pembelian uniform kepada kesemua anggota dan pegawai Rela.

“Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada beritahu saya sudah RM80 juta (Bajet 2017) diberikan (kepada Rela). Maka kalau campur RM100 juta itu (Bajet 2018) jadi RM180 juta.

“Maka dalam perhimpunan ini, sebagai ambil kira kesetiaan Rela, saya tambah RM20 juta untuk uniform kerana anggota yang ada uniform sekarang 550 ribu orang sahaja,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Ke-46 Peringkat Kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Malah kata Najib, peruntukan berkenaan akan terus ditambah jika kerajaan Barisan Nasional terus diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Selepas 'berhari raya' ini, kalau dapat mandat baru, kita boleh tambah lagi peruntukan,” jelas beliau.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengumumkan kenaikan elaun anggota Rela daripada RM6 kepada RM8 sejam.

Bagi pegawai, mereka turut menerima kenaikan elauan daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam.

“Maka dengan ini mengambil kira kesetiaan tuan-tuan maka sukacita saya umumkan kerajaan menaikkan elaun anggota Rela daripada RM6 kepada RM 8 ringgit sejam bagi anggota Rela dan daripada RM7.80 kepada 9.80 sejam bagi pegawai Rela,” tambahnya.

Ketika ini terdapat lebih 3 juta anggota Rela di seluruh negara.