IOI Corporation Bhd akan memperuntukkan sejumlah RM1 bilion bagi tujuan pelaburan dalam perniagaan huluan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Lee Yeow Chor.

Beliau berkata, langkah itu bagi menjadikan portfolio pelaburan syarikat yang lebih seimbang.

"Ini berikutan pelaburan besar (syarikat) dalam perniagaan hiliran sejak beberapa tahun lepas," katanya.

Lee berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata IOI akan memberi tumpuan terhadap sektor perladangan dan bergantung kepada peluang yang ada, ia memiliki lembaran imbangan yang kukuh serta paras hutang rendah sebanyak 0.38.

Merujuk prospek minyak sawit mentah (MSM), Lee yang juga Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia menjangkakan harganya akan meningkat di antara RM2,500 dan RM2,650 satu tan bagi tempoh dua bulan akan datang selepas musim sejuk.

"Sebelum ini, tempoh berkenaan (Disember/Januari) mencatatkan penyusutan pengeluaran sebanyak dua angka namun bagi tahun ini kami menyasarkan ia turun satu angka.

"Ini disebabkan oleh pengukuhan ringgit dan kaitannya dengan kenaikan harga minyak mentah yang kini berada di paras melebihi US$60 (US$1=RM4.08) setong," katanya.

Lee turut menyasarkan pengeluaran minyak sawit IOI akan mencecah antara 8.0-10 peratus, dipacu oleh pemulihan pengeluaran baharu dan semasa di Indonesia.

Mengulas EGM itu, Lee berkata kumpulan itu bersetuju untuk melupuskan 70 peratus pegangannya dalam kilang penapis minyak sawit di Netherlands, IOI Loders Croklaan Group BV, pada harga RM3.94 bilion kepada Koninklijke Bunge BV.

Langkah itu akan mengurangkan hutang bersih IOI, katanya.

Bagi prospek masa depan, beliau berkata keuntungan perniagaan huluan IOI berkemungkinan besar akan terus menyumbang kira-kira 60 hingga 70 peratus daripada jumlah keuntungan syarikat, kebanyakannya daripada sektor perladangan manakala baki kira-kira 25 peratus hingga 35 peratus pula disumbangkan oleh perniagaan hiliran.

-- BERNAMA