Kelemahan ringgit berbanding mata wang lain mampu menjadikan Malaysia destinasi menarik untuk syarikat francais asing mengembangkan perniagaan mereka di sini berikutan kos yang lebih murah.

Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Bhd (PNS), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, cabaran sekarang adalah memilih perniagaan yang tepat serta serasi dengan persekitaran negara ini.

"Kita perlu memilih perniagaan daripada industri yang dapat membantu meningkatkan ekonomi negara. Itu amat penting," katanya pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya PNS di sini, Rabu.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Pengerusi PNS, Datuk Seri Syed Ali Al Habshee.

Merujuk syarikat yang memiliki perniagaan di luar negara, Syed Kamarulzaman berkata, kelemahan ringgit itu boleh memberikan keuntungan lebih tinggi kerana transaksinya menggunakan mata wang asing.

Jelasnya, biarpun kelemahan ringgit itu turut memaksa francaisor Malaysia meneliti semula usaha pengembangan mereka di luar negara, ia tidaklah ke tahap yang memerlukan mereka menamatkan terus hasrat berkenaan.

"Apa yang kita semai hari ini mungkin memberi hasil pada masa depan. Kita tidak boleh menunggu ringgit kukuh semula untuk berkembang ke luar negara kerana ia mungkin sudah terlalu lewat.

"Justeru, inilah masanya untuk meninjau peluang yang ada," katanya.

PNS yang juga agensi milik Kementerian Kewangan Diperbadankan, juga berhasrat untuk memajukan industri francais di negara ini.