Restoran ayam goreng terkemuka Korea Selatan, NeNe Chicken akan mula beroperasi di Malaysia buat pertama kalinya pada awal tahun depan.

Dengan lebih 1,200 cawangan di Korea Selatan, NeNe Chicken sudah beroperasi di Australia, Singapura dan Hong Kong. Malaysia merupakan pasaran antarabangsa keempat syarikat ini.

"Ne! Ne!", yang bermaksud "Ya! Ya!" dalam Bahasa Malaysia, menyajikan ayam goreng masakan Korea dan amat popular di Korea Selatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat itu, operasi di Malaysia akan bermula dengan pembukaan beberapa cawangan pada separuh pertama tahun 2018.

NeNe Chicken ditubuhkan pada tahun 1999 oleh C.H. Hyun di Korea Selatan.

Antara sajian yang dijanjikan oleh NeNe Chicken adalah ayam goreng yang ada enam perisa berbeza yang boleh dipilih oleh pelanggan (Swicy, Original, Freaking Hot, Bulgogi, Keju Salju, dan Salji Sayuran), NeNe Burger, Kimchi Burger, dan Black Sesame Soft Serve Ice Cream.