Qatar berhasrat menarik diri daripada Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk menumpukan rancangannya dalam meningkatkan pengeluaran gas asli.

Menurut Menteri Hal Ehwal Tenaga Qatar, Saad Sherida al-Kaabi berkata pengunduran ini dirancang berlaku pada 1 Januari 2019.

Perkara ini diumumkan dalam sidang media di Doha pada Isnin dan disahkan melalui akaun Twitter rasmi Qatar Petroleum, perbadanan milik negara yang bertanggungjawab dalam aktiviti minyak dan gas.


Saad Sherida berkata OPEC telah dimaklumkan tentang keputusan itu.

Beliau berkata keputusan itu mencerminkan matlamat Qatar untuk meningkatkan pengeluaran gas asli kepada 110 juta tan dalam tahun mendatang daripada 77 juta tan kini.

Antara sebab utama mengapa Qatar ingin keluar daripada OPEC adalah disebabkan pertelingkahan yang berlaku di antara Qatar dan jiran negara itu.

Sebelum ini, empat negara teluk lain telah mengheret Qatar ke Mahkamah Antarabangsa ICJ tentang isu pelanggaran undang-undang udara.

Malaysia dijangka akan meneruskan usaha kerjasama dengan Qatar susulan lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri ke negara teluk itu.