Nilai ringgit dijangka terus melemah sehingga akhir tahun ini akibat kesuraman ekonomi global serta tekanan dalam pasaran kewangan negara.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata kerajaan disaran mencari penyelesaian terbaik bagi mengukuhkan ekonomi yang agak kritikal ketika ini.

Menurut beliau, kejatuhan ringgit banyak memberi kesan kepada peniaga terutamanya yang menjalankan aktiviti di luar negara.

“Dia (nilai ringgit) bergantung kepada banyak faktor. Saya ikuti juga sebagai seorang yang berminat dalam bidang ini. Kemungkinan akan berlaku ringgit kita menjadi lebih lemah dan mungkin turun kepada RM4.50 untuk 1 dolar, kemungkinan pada akhir tahun.

"Ini kerana eksport kita menurun, harga barang kita eksport menurun jadi ini tidak memberi sokongan kepada nilai ringgit kita,” katanya selepas majlis perasmian blok asrama lelaki dan perempuan (orang asli) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Wangi anjuran Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa pakar ekonomi menjangkakan ringgit dijangka tidak berubah dan harga minyak akan kekal tinggi.

Namun, ia turut bergantung sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan langkah baharu untuk mengawal kelemahan ringgit.