Malaysia perlu memberi keutamaan kepada ekonomi sebenarnya dan bukan hanya kewangan, kata Pakar Ekonomi Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS) Prof Jomo Kwame Sundaram.

Beliau berkata, negara kurang memberi tumpuan kepada petunjuk ekonomi sebenar seperti masa depan pertanian serta kemerosotan aktiviti perindustrian.

"Sekarang ini kita memberi banyak tumpuan kepada petunjuk kewangan," katanya kepada pemberita di luar acara Persidangan Antarabangsa Malaysia-Perancis, di sini, pada Isnin.

Beliau merupakan salah seorang ahli panel persidangan tersebut.

"Kita nampaknya tidak begitu bimbang dengan hakikat yang sektor industri negara semakin merosot dari segi bahagian ekonomi yang disumbang pembuatan dan semakin kurang pekerja bekerja dalam sektor pembuatan," katanya.

Jomo, yang juga felo pelawat kanan Institut Penyelidikan Khazanah berkata meskipun semua orang gembira dengan peningkatan sektor perkhidmatan tetapi nilai sektor tersebut masih boleh dipersoalkan.

"Apakah ciri-ciri perkhidmatan ini dan berapa banyak nilai yang ditunjukkan.

"Anda boleh mempunyai pengedaran semula menerusi perkhidmatan tetapi tidak semestinya bermaksud kita sebenarnya menambah kepada ekonomi," katanya.

Persidangan dua hari itu yang bertemakan 'Malaysian Capitalism in Comparative Perspective', dianjurkan bersama oleh Institut Penyelidikan Khazanah, Kedutaan Perancis dan Malaysia-France Unversity Centre, dengan sokongan France's Institut Francais.

Persidangan itu bertujuan untuk merangsang dialog dan meningkatkan pemahaman dalam kalangan cendekiawan, penyelidik dan pengulas dari kedua-dua negara. -- BERNAMA