Apabila perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) berkuat kuasa kelak, industri di Malaysia akan mempunyai kelebihan selaku penggerak pertama sedang negara lain masih berusaha menyaingi.

Menurut Pengarah Eksekutif bagi Harta Intelek Antarabangsa (IP) Pusat Harta Intelek Global (GIPC), Patrick Kilbride sistem IP yang mantap disebabkan TPP, akan memberi faedah seterusnya kepada Malaysia dengan menarik lebih banyak industri berintensifkan IP melabur dalam pasaran.

Kilbride berkata industri berintensifkan IP Malaysia akan mempunyai asas untuk memasuki pasaran rakan kongsi yang merangkumi 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar global, dengan jaminan layanan sama rata atau lebih baik.

Katanya persekitaran IP Malaysia yang kukuh meletakkan negara ini di depan dalam kalangan negara yang berpendapatan sederhana, namun masih ada kerja yang perlu dilakukan terutama dalam aspek paten.

Faedah sebenar datang apabila timbul kesedaran secara meluas bahawa IP diambil kira dari segi pentadbiran dan penghakiman serta penguatkuasaan, kata Kilbride.

"Bagusnya Malaysia ialah negara ini telah mengadakan sistem yang dapat melindungi harta intelek dengan berkesan, sekali gus mendahului kebanyakan negara berpendapatan sederhana lain," katanya kepada Bernama menerusi e-mel.

Indeks IP Antarabangsa Tahunan Ketiga yang dikeluarkan oleh GIPC awal tahun ini memberi ranking kepada 30 ekonomi di seluruh dunia termasuk hampir semua negara TPP, berhubung aspek komitmen dalam inovasi.

"Kami dapati ada hubung kait secara langsung antara perlindungan IP yang kukuh dan peningkatan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan, keluaran inovatif serta iklim perniagaan yang lebih positif.

"Setiap faktor ini pula akan menyokong pertumbuhan dan pengembangan industri berintensifkan IP di Malaysia," kata Kilbride.

Beliau berkata kejayaan menyertai TPP akan menjadikan Malaysia anggota sebuah perkumpulan elit dalam sistem perdagangan global berasaskan peraturan terkini.

Ditanya mengenai bantahan terhadap cadangan perjanjian perdagangan itu, Kilbride berkata: "Tidak ada siapa yang terlibat secara langsung dalam perbincangan itu tahu semua perincian dalam TPP atas faktor ia belum lagi dipersetujui."

"Adalah amat penting bagi kerajaan Malaysia membantu mendidik tentang peluang yang terhasil daripada TPP," kata Kilbride yang menambah bahawa beliau sedar Perbadanan Harta Intelek Malaysia telah mengambil langkah sedemikian dengan melibatkan usahawan Malaysia manakala organisasi swasta seperti GIPC dan Dewan Perniagaan Amerika Syarikat juga ada peranan untuk dimainkan.

Diwujudkan pada 2007, GIPC adalah sekutu Dewan Perniagaan Amerika Syarikat dan memperjuangkan isu hak milik harta intelek.

TPP merupakan perjanjian perdagangan terbesar dan satu langkah penting ke arah integrasi serta kerjasama ekonomi dan liberalisasi pelaburan yang lebih terperinci di rantau Asia Pasifik.

Pegawai daripada 12 negara yang terbabit dalam perbincangan TPP kini berhimpun di Hawaii sejak 24 Julai bagi sesi rundingan terakhir selama empat hari, diikuti mesyuarat peringkat menteri dari 28 hingga 31 Julai ini.

Selain Malaysia, negara lain yang terlibat dalam rundingan TPP ialah Amerika Syarikat, Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Vietnam dan Singapura.