Angka kematian selepas sebuah bot karam di perairan Phuket meningkat kepada 33 orang sementara 23 lagi mangsa masih hilang, menurut Timbalan Komander Tentera Laut Diraja Thailand (RTN) Laksamana Muda Charoenpol Kumrasri.

Semua mereka yang terkorban dan hilang, kebanyakan pelancong dari China, adalah penumpang bot penyelam "Phoenix Diving".

"Beberapa mangsa yang maut dijumpai terperangkap dalam bot penyelam yang karam itu," kata beliau kepada media di Phuket, malam ni sambil menambah 49 penumpang diselamatkan semalam oleh nelayan bot pukat tunda yang melalui perairan itu dan memindahkan mereka ke pulau utama.

"Phoenix Diving'" membawa 105 penumpang termasuk 93 pelancong, seorang pemandu pelancong dan 11 kru apabila ia dibadai ombak tinggi dan anging kencang dalam insiden itu yang berlaku pada jam 5.45 petang (waktu tempatan) pada Khamis.

Operasi mencari dan menyelamat telah digantung akibat cuaca buruk dan akan disambung semula pada Sabtu.

Ribut semalam yang menyebabkan ombak setinggi sehingga lima meter juga telah menterbalikkan dan menenggelamkan sebuah perahu layar,"Serenitta", menyebabkan 42 penumpang terhumban ke laut yang bergelora tetapi nasib baik kesemua mangsa diselamatkan oleh kapal-kapal yang melalui kawasan itu.

Dua daripada penumpang yang disenaraikan sebagai hilang sebelum ini ditemukan dalam keadaan selamat, menurut Gabenor Phuket Noraphat Plodthong.

Kapal layar tersbut dibadai oleh ombak tinggi semasa dalam pelayaran balik dari bersiar-siar di Pulau Koh Racha.

-- BERNAMA