Letupan berganda bom kereta di timur bandar Libya pada Selasa menyaksikan sekurang-kurangnya 33 orang maut dan puluhan yang lain cedera termasuk pegawai keselamatan dan orang awam, kata pihak berkuasa.

Ledakan itu memecah kedamaian di bandar itu selepas perang tiga tahun dari 2014 hingga lewat tahun lepas berakhir.

Letupan pertama melanda di luar sebuah masjid di pusat bandar Al Salmani di Benghazi ketika para jemaah selesai solat.

Kira-kira 10 hingga 15 minit kemudian, letupan kedua meletus dari sebuah kereta Mercedes yang diletakkan di seberang jalan, memusnahkan ambulans dan menyebabkan jumlah maut yang lebih tinggi.

Salah seorang yang terbunuh ialah Ahmed al-Feitouri dari unit penyiasatan dan penangkapan Libya.

Menurut pihak berkuasa, seorang pegawai risikan kanan, Mahdi al-Fellah juga merupakan antara 50 orang yang cedera.

Mangsa maut termasuk orang awam, antaranya warga Mesir yang bekerja di sebuah kedai sayur di depan masjid.

Pasukan perubatan turut menjangkakan angka korban meningkat susulan kecederaan parah yang kritikal dihadapi mangsa.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan.