Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit di Costa Rica pada Selasa melaporkan 53 orang dijangkiti virus Zika termasuk 39 berdaftar di bandar pantai Jaco negara itu.

Menurut ketuanya, Doktor Rodrigo Marin, pegawainya sentiasa membuat pemantauan kerana ia adalah antara satu tempat persinggahan bagi pelancong meneruskan perjalanan ke seluruh negara.

Jelasnya, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan mengekang penularan virus Zika di kalangan penduduk dan pelancong yang datang ke negara itu.

“Rantau Pasifik tengah adalah kawasan hujan tinggi yang berbeza dari tempat lain dan terdapat banyak pergerakan.

“Ia bukan sahaja vektor tetapi ada orang yang dijangkiti virus Zika. Terdapat banyak negara jiran yang mempunyai penyebaran aktif dan di sini, terdapat pergerakan pelancong begitu banyak, tempatan dan antarabangsa, ia adalah satu realiti,” katanya.


Selain itu, pegawai penguatkuasa kesihatan turut menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan memberi program kesedaran pencegahan di kawasan kediaman.

Zika merebak melalui jangkitan nyamuk aedes yang dikenali sebagai aegypti.

Amerika Syarikat telah menyenaraikan Costa Rica sebagai negara dengan wabak Zika dan pelancong dinasihati mengambil langkah berjaga jaga terhadap jangkitan itu.