Angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh disebabkan hujan lebat yang melanda bahagian barat Jepun telah mencecah 200 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa pada Khamis.

Lebih 70,000 anggota terlibat dalam misi mencari dan menyelamat lebih 60 orang yang masih dilaporkan hilang di prefektur Hiroshima, Okayama dan Ehime, kawasan paling teruk dilanda bencana itu.

Agensi Bomba dan Pengurusan Bencana berkata seawal pagi Khamis, sejumlah 6,700 orang masih berada di pusat perlindungan kecemasan.

Memandangkan sesetengah pusat perlindungan tidak mempunyai pendingin hawa, kementerian kesihatan telah memberi amaran berhubung penyakit berkaitan haba kerana agensi cuaca meramalkan bahawa suhu pada waktu siang boleh mencecah 35 darjah Celsius minggu depan.

Kementerian kesihatan turut memberi amaran kemungkinan berlaku keracunan makanan kerana ramai orang jatuh sakit selepas makan makanan yang telah dibiarkan dalam keadaan panas terlalu lama.

BACA: 126 terkorban, operasi menyelamat diteruskan

Kira-kira 240,000 kediaman telah terputus bekalan air bersih di barat Jepun manakala sistem pengangkutan turut terjejas.

West Japan Railway Co dan pengendali 27 laluan di kawasan terjejas telah melaporkan berlaku kerosakan di lebih 100 lokasi dan tidak dapat menyambung semula perkhidmatan dalam tempoh beberapa hari yang akan datang.

-- BERNAMA