Angka kematian akibat banjir buruk dan tanah runtuh di beberapa wilayah Filipina meningkat kepada 85 orang pada Rabu.

Menurut Pengarah Eksekutif Agensi Bencana Kebangsaan, Ricardo Jalad, antara yang terkorban termasuk kanak-kanak yang maut selepas ditimpa rumah mereka dalam kejadian tersebut.

Tambahnya 20 mangsa masih dilaporkan hilang dan usaha mencari dan menyelamat masih giat dijalankan.

"Jika kita tidak menemui mangsa yang hilang ini, atau jika kita menemui mayat mereka, maka angka kematian akan meningkat kepada 105 mangsa. Kita harap ia tidak berlaku," kata Jalad.

Ribut tropika yang melanda Filipina pada Ahad menyebabkan hujan lebat dan kejadian tanah runtuh di Bicol dan rantau Visayas.

Pihak berkuasa telah mengisytiharkan darurat ke atas tiga wilayah bagi menyalurkan bantuan kecemasan.

Kawasan paling teruk terjejas adalah Bicol dengan penduduk berjumlah 5.8 juta orang, di mana 68 mangsa maut akibat hujan lebat dan tanah runtuh.

"Hari ini cuaca bertambah baik. Kami harap banjir akan surut tidak lama lagi," kata petugas operasi bencana di Bicol, Ronna Monzon.

Kira-kira 20 ribut tropika membadai Filipina setiap tahun yang meragut ratusan nyawa.