Berita  | Dunia

Angka korban gempa di Nepal terus meningkat

Angka korban gempa di Nepal terus meningkat
Pusat Kajian Gempa Amerika Syarikat (USGS) berkata gegaran kuat dirasai di negara Banjaran Himalaya itu dan sebahagian kawasan di India.
KATHMANDU: Angka korban akibat gempa bumi kuat di Nepal pada Sabtu dilaporkan melebihi 1,805 orang dan melibatkan sekurang-kurangnya 4,718 orang cedera.

Jumlah yang terkorban dijangka akan terus meningkat ekoran ramai yang dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan bangunan.

Jurucakap polis pula dilaporkan berkata kerja-kerja menyelamat mangsa gempa bumi ini dilakukan oleh semua anggota penyelamat.

“Kematian dilaporkan daripada semua wilayah di negara ini kecuali di kawasan barat jauh. Semua anggota keselamatan telah dihantar bagi kerja-kerja menyelamat dan membantu mereka yang memerlukan,” kata jurucakap polis kebangsaan negara itu, Kamal Singh Bam kepada agensi berita AFP.

Ekoran malapetaka itu, kerajaan Nepal turut mengisytiharkan keadaan darurat di negara pergunungan Himalaya itu.
Gempa bumi kuat yang berukuran 7.8 pada skala Richter itu berlaku pada Sabtu pukul 2.45 petang waktu Malaysia, sehingga telah menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.


Sementara itu, laporan berita turut melaporkan beberapa pasukan pendaki dipercayai hilang akibat salji runtuh di gunung tertinggi di dunia itu berikutan gempa bumi tersebut.

Negara jiran Nepal, India turut merasai gegaran kuat terutama di kawasan utara India susulan kejadian gempa bumi yang berpusat kira-kira 77 kilometer dari ibu negara Nepal, Kathmandu.


Nepal Earthquake

Pusat Kajian Gempa Amerika Syarikat (USGS) sebelum itu berkata gegaran kuat dirasai di negara Banjaran Himalaya itu dan sebahagian kawasan di India.

Beberapa kerosakan dilaporkan berlaku termasuk laporan bangunan runtuh di Kathmandu.

Nepal Earthquake

Terbaru, lapor CNN-IBN, sebuah bangunan sembilan tingkat musnah teruk sehingga hampir menjadi debu akibat gempa tersebut.

Seramai 400 orang dilaporkan terperangkap di dalam runtuhan tersebut.






Sementara itu, seorang pelancong Malaysia, Citanurhani Hussin yang sedang bercuti bersama rakan-rakannya, turut merasa gegaran tersebut meskipun berada di Agra, India.

Beliau yang berada di sebuah hotel di wilayah tersebut berkata, pengunjung restoran di hotel tersebut telah bergegas keluar sejurus selepas merasa gegaran itu.