Sebuah kompleks apartmen kelas tinggi di sini, yang menggunakan nama Donald Trump, telah memutuskan untuk menggugurkan perkataan itu susulan kenyataan beliau sebelum ini yang dianggap memecah belahkan rakyat.

Pada mulanya, penduduk apartmen Trump Place di Manhattan itu, di mana sebuah bilik studio disewa untuk US$3,000 sebulan, tidak menghiraukan tindakan Trump untuk bertanding sebagai calon Presiden.

Ini kerana, mereka tidak menyangka beliau akan memenangi pilihan raya itu pada 8 November lalu.

Namun, apabila momentum kempen beliau meningkat walaupun Trump menghina rakyat Mexico, wanita dan orang kurang upaya, penduduk apartmen tersebut telah menandatangani petisyen untuk mengugurkan nama Trump dari kompleks tiga bangunan itu.

Jurucakap Equity Residential yang merupakan pengurus kompleks itu berkata, nama 'Trump Place' yang terpampang dalam huruf besar akan dikeluarkan.

"Kami kini dalam proses menukar nama bangunan-bangunan di 140, 160 dan 180 Riverside (Boulevard).

"Menggunakan identiti bangunan yang lebih neutral akan menarik penduduk semasa dan yang akan datang," kata Marty McKenna.

Katanya, mereka akan menggunakan alamat jalan mereka sahaja.

Lebih 600 penduduk yang menandatangani petisyen itu menyatakan kenyataan Trump tidak mencerminkan nilai rumah mereka.

"Memandangkan Trump memajakkan namanya kepada bangunan yang tidak dimilikinya, sebahagian daripada bayaran sewa kami digunakan untuk meningkatkan nilai aset bersih Trump," menurut aduan di dalam petisyen itu.